Monday, October 21, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan hadiri acara pelantikan presiden

    JAKARTA, 20 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat bagi menghadiri Acara Pelantikan Presiden dan Wakil Presiden Republik Indonesia.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Bangunan Majelis Permusyawaratan Rakyat / Dewan Perwakilan Rakyat dijunjung oleh Menteri Pertahanan dan bakal Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Prabowo Subianto.

    Setelah itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama tetamu-tetamu luar negara yang lain berjalan beriringan menuju ke Sesi Pleno Majelis Permusyawaratan Rakyat bagi Acara Pelantikan Presiden dan Wakil Presiden Republik Indonesia.

    Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyaksikan Majlis Mengangkat Sumpah TYT Prabowo Subianto sebagai Presiden Republik Indonesia yang ke-8, diikuti dengan Majlis Mengangkat Sumpah Tuan Yang Terutama Gibran Rakabuming Raka sebagai Wakil Presiden Republik Indonesia.

    Majlis diteruskan dengan penandatanganan minit-minit perasmian dan ucapan perasmian daripada Tuan Yang Terutama Presiden Indonesia.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi menghadiri Acara Pelantikan Presiden dan Wakil Presiden Republik Indonesia, yang berlangsung di Bangunan Majelis Permusyawaratan Rakyat / Dewan Perwakilan Rakyat di Indonesia, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat menghadiri Acara Pelantikan Presiden dan Wakil Presiden Republik Indonesia di Bangunan Majelis Permusyawaratan Rakyat / Dewan Perwakilan Rakyat, Indonesia, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan berangkat ke Majlis Resepsi Makan Malam di Istana Negara. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan berangkat ke majlis pelantikan presiden Indonesia, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan mengadakan perjumpaan bersama Jenderal TNI (Purn) Dr H Wiranto. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan menghadiri perjumpaan bersama Jenderal TNI. (Purn) H Try Sutrisno. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan menadah tangan semasa doa dibacakan sebelum berangkat meninggalkan Jakarta. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    TYT Prabowo Subianto semasa mengangkat sumpah pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Pada penghujung acara tersebut, Presiden Republik Indonesia, TYT Prabowo Subianto dan Wakil Presiden Republik Indonesia, TYT Gibran Rakabuming Raka, bersalam-salaman dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan tetamu-tetamu luar negara yang lain.

    MENGADAKAN PERJUMPAAN-PERJUMPAAN

    Sementara itu, pada sebelah petang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat menghadiri perjumpaan bersama mantan Wakil Presiden Republik Indonesia, Jenderal TNI (Purn) H Try Sutrisno, iaitu semasa tempoh pentadbiran Presiden Soeharto pada tahun 1993 hingga 1998.

    Selepas perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengadakan perjum-paan bersama mantan Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan, Republik Indonesia, Jenderal TNI (Purn) Dr H Wiranto, iaitu semasa tempoh pentadbiran Presiden Joko Widodo pada tahun 2016 hingga 2019.

    MAJLIS RESEPSI MAKAN MALAM

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenan berangkat ke Majlis Resepsi Makan Malam yang berlangsung di Istana Negara.

    Turut hadir di resepsi tersebut ialah tetamu-tetamu luar negara yang lain. Resepsi tersebut turut diserikan dengan beberapa persembahan muzik dan nyanyian.

    KEBERANGKATAN BALIK

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat meninggalkan Jakarta, Republik Indonesia setelah menghadiri Acara Pelantikan Presiden dan Wakil Presiden Republik Indonesia.
    Sebelum berangkat, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Brigadier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir.

    Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia menikmati jalinan persahabatan dan hubungan kerjasama dua hala yang erat dan mesra dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, kesihatan, buruh dan pertukaran rakyat.

    Kedua-dua buah negara telah menubuhkan hubungan diplomatik pada bulan Januari 1984 dan juga bekerjasama rapat melalui kerjasama serantau dan antarabangsa termasuk ASEAN, APEC, OIC dan BIMP-EAGA.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda