Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan hadiri Upacara Sovereign’s Parade

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Upacara Sovereign’s Parade bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan ke-22, Sekolah Pegawai Kadet yang berlangsung di Padang Kawad Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (AP ABDB), Kampung Tanah Jambu.

    Mengiringi keberangkatan Baginda Sultan ialah paduka-paduka anakanda Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Keberangkatan tiba Baginda Sultan dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

    Seterusnya, Baginda berkenan menerima tabik hormat diraja dan memeriksa pasukan perbarisan yang terdiri daripada pegawai-pegawai kadet pengambilan ke-22, Sekolah Pegawai Kadet di bawah perintah Pegawai Perbarisan, 1211 Kapten Umar Abdul Aziz bin Haji Yahya. Ini disusuli dengan acara perbarisan berjalan lalu.

    Di upacara berkenaan, Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah diikuti dengan pengurniaan anugerah bagi pegawai-pegawai kadet terbaik untuk pengambilan ke-22.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan berangkat ke Upacara Sovereign’s Parade bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan ke-22, Sekolah Pegawai Kadet yang berlangsung di Padang Kawad Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (AP ABDB), Kampung Tanah Jambu. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar bersama para pegawai kadet yang ditauliahkan pada upacara berkenaan. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan menerima pesambah Buku Perjalanan daripada pegawai kadet. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah daripada pegawai kadet dan keluarga. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan menganugerahkan Anugerah Pedang Kehormatan kepada Pegawai Kadet Dayangku Noor Umiatul Afiqah pada upacara tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan menganugerahkan Anugerah Terbaik Akademik kepada Pegawai Kadet Awang Haziq Zharfan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Pengurniaan anugerah-anugerah didahului dengan Anugerah Pedang Kehormatan kepada Pegawai Kadet Dayangku Noor Umiatul Afiqah binti Pengiran Zainal Abidin, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains dalam Biodiversiti dari Universiti Brunei Darussalam.

    Anugerah Pedang Kehormatan merupakan anugerah penghormatan tertinggi yang dikurniakan oleh Baginda kepada pegawai kadet dan ia merupakan simbol kecemerlangan terbaik secara keseluruhan bagi pegawai kadet yang mempunyai pencapaian tertinggi dalam latihan asas ketenteraan, akademik, fizikal dan dalam semua aspek kepimpinan.

    Baginda seterusnya mengurniakan Anugerah Terbaik Akademik kepada Pegawai Kadet Haziq Zharfan bin Haji Awang Hasbollah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengajian Komputer dari University College London, United Kingdom.

    Pegawai kadet berkenaan dikurniakan anugerah itu berdasarkan keputusan keseluruhan akademik terbaik sepanjang latihan dijalankan.

    Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera pula dikurniakan kepada Pegawai Kadet Murfiqah binti Muhammad yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Geografi Alam Sekitar dan Pembangunan dari Universiti Brunei Darussalam. Pengurniaan anugerah itu adalah berdasarkan kejayaan dan keputusan cemerlang beliau dalam semua mata pelajaran kemahiran tentera.

    Sementara itu, Anugerah Terbaik Ketahanan Jasmani telah dikurniakan kepada Pegawai Kadet Awangku Muhammad Syahiiruddin bin Pengiran Haji Tengah yang berkelulusan BTEC Level 5 Higher National Diploma dalam Sistem Komputer dari Kolej Antarabangsa Micronet, Negara Brunei Darussalam. Anugerah berkenaan sebagai mengiktiraf pencapaian cemerlang beliau dalam latihan jasmani.

    Manakala itu, Anugerah Terbaik Pegawai Kadet Antarabangsa telah diberikan kepada Pegawai Kadet Muhammad Akid bin Ayub dari Republik Singapura yang memiliki Diploma Sains Farmasi dari Republic Polytechnic di Republik Singapura.

    Anugerah Pegawai Kadet Antarabangsa merupakan anugerah yang julung kalinya diperkenalkan oleh Sekolah Pegawai Kadet AP ABDB bagi menghargai serta memberi pengiktirafan kepada pegawai kadet antarabangsa yang berjaya mencapai prestasi terbaik dalam semua latihan secara keseluruhan serta sumbangan pegawai kadet berkenaan sepanjang menjalani latihan Kursus Pentauliahan.

    Ia juga sekali gus mencerminkan peningkatan positif dalam kemajuan yang telah dicapai oleh Sekolah Pegawai Kadet khususnya dan AP ABDB amnya yang mulai menerima kemasukan pegawai-pegawai kadet dari negara-negara jiran bagi mengikuti Kursus Pegawai Kadet di Sekolah Pegawai Kadet.

    Sembah ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ kemudiannya dilaungkan tiga kali oleh pasukan perbarisan, diikuti bacaan doa oleh Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).

    Majlis diteruskan di Dewan Istiadat AP ABDB di mana Baginda Sultan telah berkenan menerima pesambah yang dinamakan Al-Iastimraria daripada pegawai-pegawai kadet yang baru ditauliahkan. Pesambah itu melambangkan perjalanan berterusan pegawai kadet pengambilan ke-22, beralih daripada peringkat awam ke pegawai ditauliahkan dan akhirnya ke peringkat perkhidmatan, sekali gus menekankan perpaduan mereka dalam mengatasi cabaran kursus.

    Selain itu, pegawai-pegawai kadet juga menyembahkan Buku Perjalanan yang mendokumentasikan latihan selama 52 minggu yang dilalui mereka.

    Baginda Sultan kemudiannya berkenan menerima junjung ziarah daripada pegawai-pegawai kadet yang baru ditauliahkan serta keluarga masing-masing. Baginda juga berkenan menandatangani lembaran kenangan keberangkatan dan sesi bergambar ramai sebelum berangkat meninggalkan majlis.

    Seramai 54 orang pegawai kadet iaitu 34 orang lelaki dan 20 orang wanita telah ditauliahkan pada hari ini. Daripada jumlah berkenaan, seramai 29 orang pegawai kadet ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), 12 orang pegawai kadet ditauliahkan sebagai pegawai TLDB, 11 orang pegawai kadet ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), manakala dua orang lagi merupakan pegawai kadet antarabangsa dari Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Bersenjata Republik Singapura.

    Upacara Sovereign’s Parade adalah kemuncak latihan ketenteraan intensif Sekolah Pegawai Kadet AP ABDB bertujuan bagi melengkapkan pegawai-pegawai yang baru ditauliahkan dengan ilmu pengetahuan, disiplin, profesionalisme dan kemahiran kepimpinan.

    Latihan pegawai kadet pengambilan ke-22 selama 52 minggu, telah bermula pada 13 Februari 2023, yang melibatkan pelbagai latihan dan aktiviti ketenteraan termasuk latihan Urban Operation Training Package (UOTP) selama tiga minggu yang dikendalikan oleh Officer Cadet School of the Singapore Armed Forces Training Institute (SAFTI MI), Republik Singapura khusus bagi meningkatkan kualiti kepimpinan, perwatakan dan intelek sepertimana yang dikehendaki bagi setiap pegawai ABDB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda