Oleh Sim Y. H –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis.
Turut berkenan berangkat ke istiadat itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan tiba Baginda di Bangunan Dewan Majlis diiringi oleh Yang Dipertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.
Pada majlis berkenaan, Baginda Sultan berkenan menyempurnakan istiadat dengan mengurniakan titah sebagai tanda bermulanya Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-21 MMN.
Terdahulu sebelum istiadat pembukaan rasmi berlangsung, Persidangan MMN bersidang untuk meneliti dan mengesahkan minit dari Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-20 MMN yang telah bersidang selama 18 hari pada 2024.
Persidangan itu kemudiannya ditangguhkan untuk memberikan laluan bagi titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam istiadat pembukaan rasmi.
Persidangan MMN akan bersidang semula pada 27 Februari, pada pukul 9:30 pagi dengan Usul Menjunjung Kasih.