Oleh Yusrin Junaidi & Daniel Lim
Gambar Oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN/BELAIT, 22 FEB – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat ke Majlis Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 tahun 2023, di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku Pengerusi Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-39 tahun 2023; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Majlis bermula dengan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menunaikan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar diikuti dengan sembahyang Sunat Hajat dan seterusnya memimpin bacaan Surah Yasin.
Bagi memberkati majlis, Doa Kesyukuran dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim. Sejurus itu, azan Isyak dikumandangkan oleh Begawan Mudim Haji Awang Suhaili bin Haji Kalong, dan seterusnya sembahyang Fardu Isyak berjemaah diimamkan oleh Pegawai Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Mustafa bin Haji Murat.
Majlis seumpamanya juga diadakan serentak di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan beberapa buah masjid sebagai tumpuan mengikut daerah-daerah.
Manakala di Daerah Belait, majlis diadakan di Masijd Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait; dan Masjid Pekan Seria.
Di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait, majlis dihadiri oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.
Majlis turut dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara di Daerah Belait, Yang Berhormat Awang Salleh bin Haji Othman selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat, dan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann selaku Ketua Kampung Bukit Sawat.
Di Daerah Tutong, majlis diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong. Sementara di Daerah Temburong, di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Majlis dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Nasir dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim.