Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Berkenan ke Majlis Konvokesyen UTB ke-10

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Da-russalam, Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB) berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen UTB ke-10, bagi meraikan seramai 381 orang graduan, di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor UTB.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan dan Pengerusi Majlis UTB, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr
    Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman; serta Pendaftar dan Setiausaha UTB, Lim Chui Hua.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan disusuli dengan keberangkatan perarakan canselor mema-suki Dewan Plenari, yang didahului bentara menjunjung Mushaf Al-Quran.

    Selesai perarakan canselor, lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dinyanyikan.
    Majlis telah dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Al-Qasas, ayat 76 hingga 80 oleh graduan Program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Sains Makanan dan Teknologi, Hajah Wafiqah binti Haji Daim. Manakala itu, inti sari ayat dibacakan oleh graduan Program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Sains Makanan dan Teknologi, Dayang Siti Nadia binti Saifullzan.

    Keberangkatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah.
    ATAS & BAWAH: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan ijazah kepada para graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UTB ke-10.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung berswafoto bersama para graduan.

    ATAS & BAWAH: Antara graduan yang menerima ijazah mereka pada Majlis Konvokesyen UTB ke-10 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah dalam sembah alu-aluannya antara lain mengongsikan bahawa buat julung kalinya, graduan daripada empat program ijazah sarjana muda (kepujian) dalam pengurusan maklumat perniagaan (sepenuh masa dan separuh masa), rangkaian komputer; sekuriti komputer dan maklumat; dan rekaan produk serta satu program ijazah sarjana dalam kejuruteraan awam menerima sijil masing-masing pada majlis itu.

    Beliau turut mengongsikan, seramai 2,955 orang graduan telah menerima sijil daripada 46 program ijazah UTB sejak 10 tahun majlis konvokesyen berlangsung, dan menurutnya, impak langsung program-program kepada pekerjaan boleh disukat daripada kebolehpasaran selepas tamat pengajian.

    “Secara purata, 72 peratus lepasan UTB dari tahun 2019-2021 telah mendapat pekerjaan daripada pihak industri dan agensi berkaitan selepas enam bulan tamat pengajian.
    “Manakala pada 2022 pula, 69 peratus telah pun mendapat pekerjaan selepas tiga bulan tamat pengajian,” jelas beliau.

    Menyentuh mengenai program-program ijazah sarjana muda sains yang telah ditukar format kepada tiga tahun mulai 2021, beliau menyembahkan bahawa ia telah menunjukkan kesan yang positif, terutama kepada kemasukan pelajar-pelajar ke Sekolah Sains Gunaan dan Matematik dengan keramaian pelajarnya telah meningkat.

    Seterusnya, beliau menyentuh mengenai titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada Majlis Konvokesyen UTB ke-9 tentang saranan terhadap penghasilan penerbitan, paten dan pengkomersialan yang akan dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara.

    “Insya-Allah pihak UTB telah mengenal pasti beberapa produk yang dapat dipatenkan dan dikomersialkan serta akan bekerjasama dengan Brunei Innovation Lab bagi produk yang menjurus kepada ekonomi digital,” jelasnya.

    Beliau juga menyembahkan bahawa beberapa pelajar UTB buat julung kalinya bagi institusi pengajian tinggi di negara ini telah dianugerahkan biasiswa jangka pendek oleh kerajaan Kanada melalui Canada-ASEAN Scholarship and Educational Scholarships and Educational Exchanges for Development Programme (SEED).

    Naib Canselor UTB seterusnya menjunjung kasih atas perkenan untuk menggunakan nama canselor sebagai piala pusingan bagi pertandingan antara institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam acara sukan, kebudayaan dan kesenian, cabaran intelek, permainan, keagamaan dan kepimpinan, yang mana pelancaran Piala Canselor telah pun diadakan pada 1 September lalu.

    Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berkenan mengurniakan titah sebelum menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada para graduan yang terdiri daripada
    dua graduan doktor falsafah, 66 graduan sarjana, dan 274 graduan sarjana muda.

    Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...