Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Berkenan ke majlis pengurniaan lencana terjun payung

    Gambar oleh Infofoto

    LONDON, 23 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berangkat menghadiri Majlis Penutup Kursus Asas Terjun Payung 1317 dan Pengurniaan Lencana Terjun Payung British Military Parachute Wings bagi Duli
    Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, yang berlangsung di Royal Air Force (RAF) Brize Norton, Oxford-shire, United Kingdom (UK).

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Mes Pegawai RAF Brize Norton dijunjung oleh Air Officer Commanding 2 Group, Naib Marsyal Udara Suraya Marshall, dan Commander Air Wing, Kapten Kumpulan Gareth Burdett, di mana Baginda seterusnya disembah kenalkan kepada pegawai-pegawai eksekutif RAF Brize Norton.

    Semasa berada di RAF Brize Norton, Baginda antara lainnya menyaksikan pertunjukan terjun payung oleh Pasukan RAF Falcons dan disembahkan taklimat mengenai keupayaan terjun payung UK daripada Course Senior Non-Commissioned Officer / Lead Instructor, Sarjan Lane Miller, serta pertunjukan keupayaan peralatan termasuk kursus terjun payung altitud rendah, terjun payung altitud tinggi, latihan sintetik dan tayangan video terjun payung asas.

    Baginda kemudian berkenan mengurniakan lencana terjun payung British Military Parachute Wings kepada DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, yang berjaya menamatkan Kursus Asas Terjun Payung 1317.

    Semasa kursus itu, Duli Yang Teramat Mulia antara lain telah mempelajari teknik penerjunan payung ketenteraan daripada beberapa tenaga pengajar dari RAF sehingga berjaya melakukan aksi lompatan penerjunan payung pada ketinggian 1,000 kaki.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah berkenan menyampaikan sijil Award of British Military Parachute Wings kepada DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen semasa Majlis Penutup Kursus Asas Terjun Payung 1317 dan Pengurniaan Lencana Terjun Payung British Military Parachute Wings yang berlangsung di Royal Air Force (RAF) Brize Norton, Oxfordshire, United Kingdom (UK).
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah berkenan melekatkan lencana British Military Parachute Wings ke lengan kanan DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat balik dari London, UK sejurus selepas majlis di RAF Brize Norton, Oxfordshire, UK.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa berkenan meninjau prasarana la-tihan. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Para peserta kursus juga menjalani latihan di Hangar Skuadron Latihan Terjun Payung dan kursus itu berasaskan dengan penilaian bertulis dan praktikal sebelum sebarang lompatan penerjunan payung dilaksanakan.

    Airborne Delivery Wing, berpangkalan di RAF Brize Norton, Carterton, Oxfordshire, merupakan sebuah unit latihan RAF yang menyediakan latihan terjun payung kepada British Armed Forces.

    Manakala Skuadron Latihan Terjun Payung yang ditubuhkan pada 1940, merupakan skuadron terbesar di Airborne Delivery Wing, yang melatih para anggota dari permulaan aktiviti terjun payung serta menjalankan latihan berterusan kepada Unit Latihan Pakar.

    Selesai majlis tersebut, Baginda Sultan kemudian berkenan berangkat balik dari London, UK.

    Sebelum berangkat balik, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke UK dan Eire, Tuan Yang Terutama Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pe-ngiran Haji Muhammad.

    Semasa di London, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menghadiri Majlis Resepsi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Charles III dan Istiadat Pemakaman Negara bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Ratu Elizabeth II yang mangkat pada 8 September 2022.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...