Saturday, November 16, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan ke majlis Sambutan Hari Raya Yayasan

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri
    Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.

    Majlis yang dianjurkan buat kali ke-19 sejak 2003 itu mengumpulkan para peserta daripada latar belakang yang berbeza setiap tahun dalam memberikan kesempatan kepada mereka menyembahkan junjung kasih dalam suasana yang lebih mesra dan meriah.

    Mereka terdiri daripada kumpulan masyarakat yang dikenal pasti dapat memberikan kepentingan dalam menjana kesejahteraan, kebajikan dan kepentingan kepada agama, bangsa dan negara.

    Majlis telah dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna serta kerabat diraja berkenan dijunjung bagi bergambar ramai.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1444H /2023M anjuran Yayasan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
    ATAS & BAWAH: Baginda Sultan berkenan dijunjung menyaksikan pameran yang ditampilkan oleh syarikat-syarikat swasta pada majlis berkenaan.

    Baginda Sultan berkenan dijunjung menandatangani potret semasa menyaksikan pameran.

    Baginda Sultan berserta kerabat diraja berkenan dijunjung menyaksikan pameran.
    Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama para peserta persem-bahan majlis sambutan berkenaan.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung berswafoto bersama peserta persembahan.
    Antara persembahan yang menyerikan majlis sambutan tesebut.

    Kemudian, sembah alu-aluan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua,

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

    Menurut Yang Berhormat Pehin, tema bagi Majlis Hari Raya Aidilfitri tahun ini iaitu ‘Memperkasakan Penglibatan Masyarakat Dalam Mencapai Wawasan Brunei 2035’ adalah disejajarkan dengan usaha ke arah mendukung Wawasan Brunei 2035 yang merupakan gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi memastikan Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang mempunyai rakyat dan penduduk yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya; menikmati kualiti kehidupan yang tinggi; dan mempunyai ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

    “Tema berkenaan diketengahkan adalah bagi menyeru setiap lapisan masyarakat bagi memperkasa potensi diri dan mengambil peranan masing-masing dalam mendukung Wawasan Brunei 2035,” sembah Yang Berhormat Pehin.

    Beliau kemudiannya mengongsikan bahawa bagi majlis berkenaan Yayasan mengumpulkan dua kumpulan peserta yang turut berperanan dalam mendukung wawasan 2035.

    Kumpulan pertama terdiri daripada kombinasi daripada wakil warga emas, para belia dan generasi muda iaitu golongan para pelajar. Mereka ini mewakili segenap lapisan masyarakat yang mempunyai peranan masing-masing dalam mendukung dan menjayakan wawasan 2035.

    Kumpulan kedua pula terdiri daripada para pegawai dan kakitangan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta serta badan-badan berkebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan fokus kepada tanggungjawab sosial korporat (CSR).

    Mereka itu diketengahkan bagi memberi inspirasi dan penghargaan terhadap usaha dan komitmen mereka dalam mendukung wawasan dan aspirasi negara bagi membantu meningkatkan taraf sara diri masyarakat yang memerlukan bantuan.

    Menurut beliau, usaha mereka itu setentunya dapat memberikan impak positif terhadap kesejahteraan awam dan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara yang lebih berdaya tahan, inklusif dan dinamik.

    “Melalui penyertaan mereka dalam sambutan ini, diharapkan untuk memberikan peluang kepada mereka untuk berhubung antara satu sama lain dalam mencari titik persamaan dan berkolaborasi bagi sama-sama membantu golongan yang memerlukan bantuan melalui pendekatan bersepadu iaitu Whole of Nation Approach,” tambah beliau.

    Kemuncak majlis ialah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebelum tayangan video bertajuk ‘Memperkasakan Penglibatan Masyarakat Dalam Mencapai Wawasan Brunei 2035’ yang antara lain memaparkan penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat sama ada dalam sektor kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan mahupun para sukarelawan secara proaktif memainkan peranan masing-masing dengan pendekatan senegara yang mantap bagi mendukung aspirasi wawasan 2035.

    Majlis telah diserikan dengan persembahan pentas daripada para pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) iaitu gabungan daripada kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-kanak, para pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah dengan pimpinan tenaga pengajar Sekolah YSHHB dan turut dibantu oleh Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Format pameran bagi majlis sambutan tahun ini berkonsepkan ‘Rumah Terbuka’ dengan suasana keharmonian Hari Raya yang disertai oleh 18 buah GLC dan NGO yang terlibat aktif dalam aktiviti pembangunan masyarakat.

    Sekretariat Wawasan Brunei 2035 turut mempamerkan inisiatif dan tindakan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan ke arah matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Baginda Sultan berserta kerabat diraja seterusnya berkenan beramah mesra dengan semua peserta yang hadir.

    Di samping memberi kesempatan peluang kepada para peserta untuk beramah-mesra dengan raja yang sangat dikasihi, majlis tersebut juga setentunya akan memberi inspirasi dan perangsang kepada para peserta dalam melaksanakan peranan mereka masing-masing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda