Tuesday, March 18, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, malam ini, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku pe-ngendali bersama majlis; dan juga ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Majlis diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama yang menyentuh bahawa sambutan Nuzul Al-Quran, sebagaimana juga sambutan-sambutan hari-hari kebesaran Islam sudah menjadi platform yang signifikan dalam mensyiarkan Islam agama rasmi negara yang mencorakkan keislaman Negara Brunei Darussalam sebagai negara yang mendukung dan mengamalkan Islam rahmatan lil’aalamiin, yang menyantuni segenap rakyat dan penduduknya, untuk saling memelihara keharmonian bermasyarakat dalam berusaha membangun negara mencapai kemajuannya yang seimbang sambil kekal kukuh dengan kedaulatannya.

    Baginda Sultan semasa berkenan berangkat ke majlis tersebut. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan dan kerabat diraja berkenan berswafoto dan beramah mesra bersama salah seorang pemenang dan jemputan pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara bagi Tahun 2025, malam tadi. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah dan cenderamata kepada salah seorang peserta musabaqah semasa Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah, semalam. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada salah seorang pemenang Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah semasa Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran di ICC, Berakas.
    Baginda Sultan berkenan beramah mesra dengan salah seorang pemenang pertandingan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara pemenang daripada setiap kategori membuat persembahan semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara tahun ini yang diungkayahkan bersama dengan JPM, dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) berserta syarikat telekomunikasi imagine Sdn Bhd dengan bertemakan Akal Sihat Dengan Al-Quran adalah berlangsung meriah diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang sangat dijunjung tinggi.

    Majlis diteruskan dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebelum pemakluman keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh selaku pengerusi jemaah hakim.

    Bagi Kategori A, Menghafaz Satu Juz Al-Quran iaitu Juz 30 Berserta Pemahaman Juz 30 terbuka kepada peserta yang lahir pada tahun 2012 dan selepasnya, johan disandang oleh Dayang Nur Sofiyyah Solehah binti Mohammad Fikri dengan memperoleh markah 98.59 peratus, diikuti oleh naib johan disandang oleh Dayang Alya Sofiyyah binti Abdul ‘Azim dengan memperolehi markah 98.48 peratus dan tempat ketiga, dimenangi oleh Dayang Nur Syifa Hasanah binti Mohammad Fikri dengan memperoleh markah 98.41peratus.

    Para pemenang bagi Kategori A, masing-masing menerima hadiah iringan, sijil penyertaan dan wang tunai berjumlah $1,500 untuk johan, manakala naib johan menerima wang tunai berjumlah $1,000 dan di tempat ketiga menerima wang tunai berjumlah $750.

    Manakala, Kategori B, Menghafaz Surah-surah Pilihan iaitu Surah Luqman, Surah As-Sajdah, Surah Yasin, Surah Ad-Dukhan, Surah Ar-Rahmaan, Surah Al-Waqi’ah, Surah Al-Jumu’ah, Surah Al-Mulk, Surah Al-Jinn dan Surah Al-Insaan dan Berserta Pemahaman Surah Al-Qasas dan Surah Al-Ankabut.

    Johan disandang oleh Dayang Nur Abidah Bazilah binti Haji Rosmin dengan memperolehi markah 98.08 peratus diikuti oleh Dayangku Wajihah binti Pengiran Khairul Nazri dengan memperoleh markah 97.60 peratus selaku naib johan dan Awang Ahmad Dhabit bin Haji Abdul Lamit dengan memperoleh markah 97.24 peratus berada di tempat ketiga.

    Para pemenang bagi Kategori B, masing-masing menerima hadiah iringan, sijil penyertaan dan wang tunai berjumlah $2,000 untuk johan, manakala naib johan menerima wang tunai berjumlah $1,500 dan di tempat ketiga menerima wang tunai berjumlah $1,200.

    Sementara bagi Kategori C, iaitu Menghafaz Tiga Juz Al-Quran iaitu Surah Al-Baqarah dan Surah Ali-‘Imraan berserta Pemahaman Surah Yusuf, Surah Ar-Ra’ad dan Surah Ibrahim yang terbuka kepada semua peringkat umur.

    Johan disandang oleh Awang Abdul Matin bin Zulnorein dengan memperoleh markah 97.80 peratus diikuti oleh Awang Abdul Rasyid bin Haji Mohammad Norazmi dengan memperoleh markah 97.02 peratus selaku naib johan dan Awang Mohammad Ahmed Maahee bin Haji Samry dengan memperoleh markah 96.70 peratus berada di tempat ketiga.

    Johan membawa pulang wang tunai berjumlah $2,800, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

    Diikuti dengan naib johan menerima wang tunai berjumlah $2,000, hadiah iringan dan sijil penyertaan. Tempat ketiga menerima wang tunai berjumlah $1,500, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

    Seterusnya bagi Kategori D, Menghafaz 15 Juz Al-Quran iaitu Juz 1 hingga Juz 15 Berserta Pemahaman Surah As-Saffat, Surah Sad dan Surah Az-Zumar, terbuka kepada semua peringkat umur, johan disandang oleh Dayang Nur Kamaliah binti Haji Jahari dengan memperoleh markah 98.51 peratus diikuti dengan naib johan dimenangi oleh Dayang Nur Najihah binti Alias dengan memperoleh markah 98.16 peratus dan tempat ketiga dimenangi oleh Dayangku Nurfaiezah binti Pengiran Haji Kamaluddin dengan memperoleh markah 96.35 peratus.

    Johan, naib johan dan pemenang tempat ketiga bagi Kategori D, masing-masing me-
    nerima hadiah iringan, sijil penyertaan dan wang tunai berjumlah $3,500, $2,500 dan $2,000.

    Sementara itu, bagi Kategori E, iaitu Menghafaz 30 Juz Al-Quran iaitu Juz 1 hingga Juz 30 Berserta Pemahaman Surah Ali-Imran dan Surah An-Nisa, Awangku Muhammad Abdul Qadir bin Pengiran Haji Ibrahim dengan memperoleh markah 98.48 peratus muncul sebagai johan, diikuti dengan naib johan, dimenangi oleh Awang Mohamed Shahmie bin Mohamed Shalahudeen dengan memperoleh markah 97.66 peratus dan tempat ketiga dimenangi oleh Dayangku Nurol Hafizah binti Pengiran Haji Tejudin dengan memperoleh markah 97.21 peratus.

    Para pemenang bagi Kategori E, masing-masing menerima hadiah iringan, sijil penyertaan dan wang tunai berjumlah $5,000 untuk johan, manakala naib johan menerima wang tunai berjumlah $3,500 dan di tempat ketiga menerima wang tunai berjumlah $2,500.

    Manakala johan bagi Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS Tahun 1446 Hijrah Kategori 10 Juz Al-Quran Berserta Pemahaman Juz 10 disandang oleh Hanin Mashlahah dari Republik Indonesia dengan memperoleh markah 97.27 peratus, diikuti dengan naib johan oleh Awang Ahmad Huzaifah bin Haji Awang Hasbi dari Negara Brunei Darussalam dengan memperoleh markah 95.41 peratus dan tempat ketiga oleh Aisyah Nabihah binti Noor Hisham dari Malaysia dengan memperoleh markah 93.75 peratus.

    Seterusnya johan bagi Kategori 30 Juz Al-Quran Berserta Pemahaman Juz 24 disandang oleh Muhammad Haikal Al Ghifari dari Republik Indonesia dengan memperoleh markah 98.32 peratus, diikuti dengan naib johan oleh Muhammad Rifaei bin Mat Zuki dari Malaysia dengan memperoleh markah 94.93 peratus dan tempat ketiga oleh Awang Muhammad Mughni bin Haji Mohd Salleh dari Negara Brunei Darussalam dengan memperoleh markah 88.50 peratus.

    Majlis diserikan dengan persembahan pemenang terbaik daripada setiap kategori Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah dan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS Tahun 1446 Hijrah.

    Sejurus itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyempurnakan pengurniaan hadi-ah dan cenderamata kepada semua peserta.

    Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara pada tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama; JPM; KSSUP; Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS dan imagine Sdn. Bhd.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda