Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi, berkenan mengurniakan surat-surat watikah pelantikan kepada ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik dan menerima surat-surat tauliah pelantikan daripada ketua-ketua perwakilan asing ke Negara Brunei Darussalam yang baharu.
Pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan mengurniakan surat-surat watikah pelantikan kepada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Thailand, Tuan Yang Terutama Pengiran Haji Sahari bin Pengiran Haji Salleh dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Timor Leste, TYT Wan Hadfi Lutfan bin Haji Abdul Latif.
Baginda seterusnya ber-kenan menerima surat-surat tauliah pelantikan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke Negara Brunei Darussalam, TYT Bernard Regnauld-Fabre; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, TYT Maeda Toru; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, TYT Luke Lazarus Arnold; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, PYT Caryn Roberta McClelland; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Laos ke Negara Brunei Darussalam, PYT Sengdavanh Vongsay; dan Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke Negara Brunei Darussalam, TYT Alok Amitabh Dimri.
Selepas majlis berkenaan, Baginda Sultan berkenan menerima mengadap ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik dan ketua-ketua perwakilan asing ke Negara Brunei Darussalam yang baharu.
Turut hadir pada majlis-majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohd Nawawi bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Mohd Taha; dan Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar.