Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin, berangkat mengadakan lawatan ke The International Fair and Museum of the Prophet’s Biography and Islamic Civilization, Madinah Al-Munawwarah.
Berangkat mengiringi Ba-ginda ialah kerabat diraja dan keberangkatan tiba Baginda dijunjung oleh Setiausaha Lem-baga Pengarah International Exhibitions and Museums of
the Biography of the Prophet and Islamic Civilization, Dr Nasser Al-Zahrani.
Semasa di muzium itu, Baginda berkenan berangkat melawat tempat-tempat galeri yang memaparkan visual maklumat dan pembelajaran seperti mengenai ketuhanan
Allah SWT dan As-sirah An-Nabawiyah (perjalanan Nabi).
Muzium yang terletak bersebelahan dengan Masjid An-Nabawi itu antara lain didedikasikan bagi perjalanan kehidupan Rasulullah SAW melalui akhlak dan ajaran Baginda yang mulia.
Selain memaparkan sejarah dunia Islam, monumen dan artifak, muzium juga menunjukkan kesan serta sumbangan umat Islam kepada ketamadunan manusia dengan menggunakan teknologi dan kaedah terkini dalam mempromosikan ajaran Islam yang murni.
Muzium itu juga mewujudkan sebuah wadah berbentuk educational entertainment (edutainment) yang bertujuan untuk mengekalkan nilai murni, nilai agama, identiti nasional dan perpaduan masyarakat.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan menerima mengadap Gabenor Madinah, His Royal Highness Prince Faisal bin Salman di The Oberoi Madinah.