Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin, secara berasingan telah berkenan menerima mengadap Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, merangkap Menteri Kedua Kesihatan dan Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamad dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Kesatuan Myanmar ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama U Htin Lynn, di Istana Nurul Iman.
Semasa menerima mengadap TYT Masagos Zulkifli, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama telah berbincang mengenai pengukuhan kerjasama dua hala antara kedua-dua buah negara dalam bidang pembangunan ekonomi, sukan dan pendidikan.
Tuan Yang Terutama berada di negara ini bagi lawatan kerja selama tiga hari hingga hari ini.
Menyertai Tuan Yang Terutama pada majlis mengadap tersebut ialah Kuasa Usaha Sementara, Suruhanjaya Tinggi Singapura di Negara Brunei Darussalam, Shaun Philip Grosse; dan Ketua Eksekutif, Majlis Ugama Islam Singapura, Kadir Maideen.
Juga hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menerima mengadap TYT U Htin Lynn yang akan menamatkan perkhidmatan.
Tuan Yang Terutama telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 7 Julai 2018.
Di ruang lain Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha secara berasingan telah berkenan menerima mengadap Jumelah Ja’afar, isteri TYT Masagos Zulkifli dan Daw Hnin Hnin Ko, isteri TYT U Htin Lyn.
Dalam pada itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, juga berkenan menerima mengadap TYT Masagos Zulkifli di Qashr Al-Meezaan.
Semasa majlis mengadap tersebut, Duli Yang Teramat Mulia dan Tuan Yang Terutama telah bertukar-tukar pandangan mengenai usaha-usaha pemulihan pasca COVID-19 serta kesan pandemik terhadap pembangunan sosial.
Duli Yang Teramat Mulia dan Tuan Yang Terutama juga berbincang mengenai inisiatif-inisiatif untuk mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala di antara kedua-dua negara.
Menyertai bersama Tuan Yang Terutama di majlis tersebut ialah Shaun Philip Grosse dan Kadir Maideen.
Juga hadir ialah Yang Berhormat Haji Nazmi.