Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri telah berkenan menerima mengadap ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik dan ketua-ketua perwakilan asing ke Negara Brunei Darussalam yang baharu di Qashr Al-Meezaan, kelmarin.
Duli Yang Teramat Mulia mula-mula berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Kesultanan Oman, Puan Yang Terutama Noralizan binti Abdul Momin; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Filipina, Puan Yang Terutama Megawati binti Dato Paduka Haji Manan; dan Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke ASEAN di Jakarta, Republik Indonesia, Puan Yang Terutama Latifah binti Zaini.
Ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik tersebut menerima surat-surat watikah pelantikan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 28 Februari lalu.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Erma Said Mohamed Al Kathiry dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mikhail Vladimirovich Baranov.
Ketua-ketua perwakilan asing yang baharu tersebut juga telah menyembahkan surat-surat tauliah pelantikan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 28 Februari
lalu.