Gambar oleh Rafi Rosli
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini berkenan menerima mengadap, Timbalan Presiden Mahkamah Besar United Kingdom (UK), The Right Honourable Lord Patrick Stewart Hodge.
Beliau berada di negara ini bagi mengadakan lawatan kerja yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang telah lama terjalin dalam bidang kehakiman di antara Negara Brunei Darussalam dan UK.

Semasa majlis mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan The Right Honourable Lord Hodge telah membincangkan mengenai sesi-sesi ceramah yang disampaikan kepada Jabatan Kehakiman Negara, komuniti perundangan, agensi-agensi kerajaan yang meliputi kementerian-kementerian dan institusi pendidikan mengenai The Impact of the Supreme Court on the Wider Economy dan The Work of the Privy Council , serta kepentingan bagi meneruskan bertukar-tukar ilmu pengetahuan, kemahiran dan amalan-amalan terbaik bagi manfaat kedua-dua buah negara.
Menyertai The Right Honourable Lord Hodge ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Kapten Jonathan Caple.
Juga hadir semasa majlis mengadap tersebut ialah Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon; dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
Lawatan The Right Honourable Lord Hodge ini menandakan kedatangan julung kalinya seorang ahli kanan dari United Kingdom Supreme Court and Judicial Committee of the Privy Council (JCPC) ke Negara Brunei Darussalam dan juga merupakan sebagai lawatan timbal balik bagi membalas kunjungan Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon ke Mahkamah Besar UK pada Oktober 2024.
JCPC berfungsi sebagai mahkamah rayuan terakhir bagi perkara-perkara sivil di Negara Brunei Darussalam.