BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan menerima mengadap dua pembesar luar negara secara berasingan pada majlis mengadap yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula menerima mengadap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesatuan Luar Negeri, Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama U Than Swe yang mengadakan lawatan rasmi ke negara ini selama dua hari.
Semasa majlis tersebut, Baginda Sultan dan Tuan Yang Terutama membincangkan isu-isu kerjasama dua-hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Perbincangan juga meliputi perkembangan di ASEAN dan perkembangan di Myanmar termasuk pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang telah dipersetujui semasa Mesyuarat Pemimpin-pemimpin ASEAN pada 24 April 2021 di Jakarta.
Menyertai Tuan Yang Terutama semasa majlis itu ialah Ketua Pengarah, Jabatan Perancangan dan Pentadbiran, Kementerian Luar Negeri Republik Kesatuan Myanmar, Myint Naing Oo dan Kuasa usaha Sementara, Kedutaan Besar Republik Kesatuan Myanmar di Negara Brunei Darussalam, Khin Sandar.
Juga hadir semasa majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.
Manakala itu, Baginda Sultan seterusnya berkenan menerima mengadap Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, Tan Sri Dato’ (Dr) Johari bin Abdul.
Semasa majlis tersebut, Baginda bertitah merakamkan ucapan tahniah atas kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, serta kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat selaku Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) tahun ini.
Baginda dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga berbincang mengenai hubungan kerjasama dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, termasuk kerjasama di antara Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Brunei Darussalam dan Parlimen Malaysia, serta isu-isu serantau dan antarabangsa.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta rombongan berada di negara ini bagi mengadakan lawatan kerja selama tiga hari, yang merupakan sebahagian daripada beberapa siri lawatan ke parlimen-parlimen negara ASEAN sebagai persiapan Parlimen Malaysia untuk mempengerusikan AIPA pada September nanti.
Lawatan itu juga adalah sebagai usaha untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara institusi legislatif ASEAN, termasuk Negara Brunei Darussalam.
Sementara itu, pada majlis mengadap berasingan yang berlangsung di Qashr Al-Meezan pada sebelah petang tadi, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri juga berkenan menerima mengadap Tan Sri Dato’ (Dr) Johari.
Turut hadir semasa majlis-majlis mengadap tersebut ialah delegasi Malaysia yang terdiri daripada Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar bin Haji Shamsudin; Ahli Parlimen Malaysia bagi Bangi, Selangor, Syahredzan bin Johan; Ahli Parlimen Malaysia bagi Gopeng, Perak, Tan Kar Hing; dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi
Malaysia ke Negara Brunei Darussalam selaku Kuasa usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam, Nur Ezira Mahadi.
Juga hadir ialah Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah.