Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Bagi meningkatkan lagi mutu serta kualiti atlet, disamping mengatur strategi dan pendekatan yang lebih sistematik dalam mempersiapkan atlet negara ke temasya sukan seterusnya, Mesyuarat Post-Mortem bagi 5th Islamic Solidarity Games (ISG) 2021 telah diadakan di Bilik Mesyuarat At-Taqwa, Tingkat 6, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KBS), pada pagi tadi.
Berkenan berangkat ke mesyuarat tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC).
Mesyuarat itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang.
Dalam sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad semasa mesyuarat tersebut menyembahkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui KKBS di atas sokongan dan kebenaran diberikan bagi kontinjen negara mengikuti ISG 2021 di Konya, Republik Turkiye.
Yang Berhormat Dato turut menyembahkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan yang padu, kerjasama serta dedikasi BDNOC khususnya kepada DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan juga kepada Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Republik Turkiye semasa temasya sukan tersebut berlangsung.



“Islamic Solidarity Games merupakan satu acara kesukanan yang julung-julung kali diadakan dan sangat penting ke arah peningkatan perpaduan Islam, mempromosikan identiti Islam dalam sukan dan membantu mengurangkan diskriminasi terhadap orang Islam.
“Walaupun penyertaan kita hanya di tahap minima, penyertaan ini sangat berharga dari segi meningkatkan jalinan hubungan persahabatan di antara negara-negara Islam.
“Ia juga merupakan peluang untuk mendedahkan atlet dan pegawai sukan dengan mutu persaingan peringkat antarabangsa yang diharapkan akan dapat membakar semangat dan meningkatkan lagi prestasi atlet pada masa akan datang.
Selain itu, Yang Berhormat Dato mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada atlet Sukan Renang, Awang Nurhaziq bin Samil yang telah menyertai temasya sukan yang berprestij ini.
“Sungguhpun tidak meraih sebarang pingat namun jadikanlah pengalaman bersaing dengan perenang-perenang dari negara Timur Tengah yang mempunyai kelebihan fizikal serta mempunyai pencapaian tinggi di tahap antarabangsa FINA, sebagai satu cabaran untuk menggandakan usaha ke arah mempertingkatkan prestasi untuk kejohanan peringkat serantau yang akan datang.
“Awang Nur Haziq atlet yang masih muda dan mempunyai masa dan peluang tinggi untuk meningkatkan prestasi dengan mempergiatkan lagi usaha melalui latihan yang konsisten,” sembah beliau.
Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap (Kesukanan) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan.

