Wednesday, February 12, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan rasmi Pesta Konvo UBD 2023

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pro Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini, berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Pesta Konvo UBD 2023 di Pusat Kesenian Pro-Canselor, UBD.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Ber-hormat Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Duli Yang Teramat Mulia dijunjung untuk menyempurnakan sabda perasmian Pesta Konvo UBD 2023 seterusnya menandatangani plak perasmian Pesta Konvo UBD.

    Sejurus perasmian, Duli Yang Teramat Mulia kemudian berkenan menyaksikan persembahan pentas sketsa bertajuk ‘Riuh-riuh Konvo’ oleh Kelab Rakis dan Kelab Pendeta Bahasa, UBD.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyaksikan pameran selepas menyempurnakan perasmian Pesta Konvo UBD 2023 di Pusat Kesenian Pro-Canselor, UBD, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan berangkat bagi santap pagi. – Gambar oleh Muiz Matdani
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan sabda perasmian. – Gambar oleh Muiz Matdani
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyaksikan pameran selepas menyempurnakan perasmian Pesta Konvo UBD 2023 di Pusat Kesenian Pro-Canselor, UBD, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyaksikan pameran yang diadakan. – Gambar oleh Muiz Matdani
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung bergambar ramai. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Persembahan pentas sketsa yang dipersembahkan oleh Kelab Rakis dan Kelab Pendeta Bahasa, UBD. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Majlis diikuti dengan persembahan sajak yang dihasilkan oleh pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), UBD dan disampaikan oleh Awang Hajib bin Sarhan selaku salah seorang mahasiswa universiti tersebut.

    Nyanyian lagu rasmi UBD hasil karya alumni UBD Tahun 2017, Awang Juan Madial yang dipersembahkan oleh Kelab Koir UBD terdiri daripada para mahasiswa dan mahasiswi serta alumni UBD turut menjadi penyeri sebagai persembahan terakhir majlis.

    Duli Yang Teramat Mulia kemudian dijunjung untuk menyaksikan pameran bertemakan ‘Seni dan Teknologi’ yang menampilkan projek khususnya memperkasa nilai-nilai keBruneian seiring dengan gaya kreatif dan inovatif tersendiri daripada mahasiswa dan mahasiswi Program Reka Bentuk dan Industri Kreatif (DCI), FASS.

    Empat buah projek yang diketengahkan dengan tajuk Brunei’s Legacy: Ancient Game, Wonders of Bruneian Culture, Jalan Jalan: A Bruneian Boardgame, dan Kenangan.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia berkenan beramah mesra dan bergambar ramai bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Persatuan Mahasiswa dan Mahasiswi UBD (PMUBD) dan seterusnya menerima pesambah daripada PMUBD.

    Pada tahun ini, Pesta Konvo UBD dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan PMUBD.
    Majlis tersebut turut dihadiri oleh ahli-ahli Majlis UBD, pegawai utama UBD, kakitangan dan pelajar.

    Pesta Konvo UBD diadakan sempena Majlis Konvokesyen UBD ke-35 yang akan berlangsung pada 21 Ogos ini di Dewan Canselor, UBD.

    Antara acara lain yang diadakan menjelang majlis konvokesyen berkenaan adalah khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran pada 16 Ogos ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda