TUTONG, 4 OGOS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan perlawanan peringkat akhir Kejohanan Badminton Terbuka West Lake (WLO) 2024 yang berlangsung di Dewan Badminton Sekolah Chung Hwa Kiudang (CHSK) bermula 1 Ogos dan berakhir hari ini dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Turut berangkat, anakanda-anakanda DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
Pada perlawanan akhir Kategori Lelaki Perseorangan Bawah 10 Tahun (B10) antara YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Muhammad Nabhan Kamil, kemenangan menyebelahi Muhammad Nabhan setelah beroleh mata kemenangan yang sangat tipis, iaitu 15-21 pada set pertama dan 19-21 pada set kedua.
Selain itu, beberapa perlawanan akhir juga diadakan di tempat yang sama dalam Kategori Terbuka, Intermediate, Bawah 14 Tahun (B14), Bawah 16 Tahun (B16) dan Bawah 19 Tahun (B19).
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudian berkenan mengurniakan hadiah bagi Kategori B10, di mana juara disandang oleh Muhammad Nabhan Kamil.
Duli Yang Teramat Mulia turut berkenan mengurniakan hadiah kepada YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman selaku naib juara, dan Shayn Lim Yu Zhe di tempat ketiga.
Terdahulu, keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Setiausaha Tetap (Kesukanan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Mohd Sufian bin Haji Basri. WLO kali ke-9 tahun ini mengetengahkan 20 kategori dan melibatkan lebih 200 peserta dari Negara Brunei Darussalam dan Sabah.