Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Liga Super Brunei (BSL) 2024/2025 di antara DPMM FC dan Wijaya FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas hari ini.
Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim tampil sebagai kapten pasukan untuk DPMM FC turut menjaringkan dua gol dalam kemenangan 7-0 ketika mereka meneruskan usaha memburu kejuaraan Liga Super Brunei.
DPMM FC kini tidak tewas dalam liga dan memenangi semua perlawanan mereka, membawa kepada pertembungan yang berpotensi menentukan kejuaraan dengan penyandang juara, Kasuka FC.