Thursday, October 17, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan sempurnakan perasmian BDIICF 2024

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa Negara Brunei Darussalam 2024 (BDIICF 2024), hari ini, di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia di ICC dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof selaku ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan.

    Turut menjunjung, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mohamad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan serta ahli-ahli Jemaah Tadbir dan Lembaga Pengarah Yayasan.

    Majlis Perasmian BDIICF 2024 dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Di majlis itu, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan mengurniakan sabda dan seterusnya merasmikan BDIICF 2024.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan berangkat menyaksikan salah satu hasil karya kaligrafi semasa Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH : DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat menyaksikan pameran pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan hadiah kepada salah seorang pemenang pertandingan seni khat. -GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat ke BDIICF 2024), yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, ICC, Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Duli Yang Teramat Mulia berkenan dijunjung untuk bergambar ramai. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Duli Yang Teramat Mulia berkenan dijunjung untuk bergambar ramai. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Majlis turut mempersembahkan tayangan video bertajuk Pemberdayaan Seni Kaligrafi Islam dan kemudian diteruskan dengan sembah ucaptama oleh Pensyarah Kanan Akademi Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia dan Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Malaysia, Dr Abdul Rahman bin Hamzah dengan tajuk Seni Khat Memartabatkan Bangsa, Pemangkin Generasi Rabbani.

    Duli Yang Teramat Mulia kemudian dijunjung bagi mengurniakan hadiah kepada para pemenang daripada empat kategori yang telah dipertandingkan iaitu Khat Thuluth, Khat Nasakh, Khat Diwani dan Khat Diwani Jali.

    Johan bagi setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai AS$1,500 berserta sijil penghargaan dan plak. Johan bagi kategori Khat Thuluth dimenangi oleh Hafize Sunduvag Namazireihanloo dari Republik Turkiye sementara Mohammad Mustofa dari Republik Indonesia pula johan kategori Khat Nasakh.

    Manakala johan bagi kategori Khat Diwani dan Khat Diwani Jali ma-sing-masing dari Republik Indonesia, Mohammad Abdul Ghoffar dan Nafang Permadi Mulyani Utama.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung menyaksikan pameran dan bergambar ramai bersama ahli-ahli Jemaah Tadbir dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan; ahli-ahli Majlis Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA); ahli-ahli Majlis Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB); pegawai-pegawai dari Pusat Penyelidikan Islam dan Kesenian, Sejarah dan Kebudayaan Islam (IRCICA), para juri dan pemenang Pertandingan Seni Khat Peringkat Serantau Asia 2024 serta para pembentang bengkel sepanjang BDIICF 2024.

    Pameran mempamerkan koleksi hasil karya kaligrafi daripada Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB), IRCICA, UNISSA dan KUPU SB.

    Di samping itu, karya-karya kaligrafi daripada para pemenang Pertandingan Seni Khat Peringkat Serantau Asia 2024 yang dianjurkan bersama Yayasan dan IRCICA turut dipamerkan.

    Dua orang pakar kaligrafi Islam iaitu Efdaluddin Kilic dari Republik Turkiye dan Belaid Hamidi dari Maghribi turut mempersembahkan tatacara atau demonstrasi penulisan kaligrafi.

    BDIICF 2024 adalah projek pertama yang julung kalinya dikendalikan secara berkolaborasi oleh Yayasan melalui PPKKI-YSHHB bersama dua buah institusi pengajian tempatan iaitu UNISSA dan KUPU SB dan sebuah institusi luar negara iaitu IRCICA, Republik Turkiye.

    Dengan tema Pemberdayaan Seni Kaligrafi Islam, mahrajan atau festival ini antara lain bertujuan untuk mengembangkan penyebaran ilmu seni kaligrafi ke pelosok serantau dan meningkatkan kesedaran umat Islam di negara-negara serantau dan antarabangsa terhadap kepentingan seni kaligrafi Islam dalam pelbagai aspek.

    Di samping itu, ia juga bersifat ilmiah yang dihasratkan bagi membuka ruang kepada pakar-pakar dan tenaga mahir tempatan dan luar negara berkumpul dan berkongsi pandangan.

    Selain memberikan tunjuk ajar yang akan dapat membantu dalam mengembangkan ilmu seni khat atau kaligrafi dan kesenian Islam kepada pencinta seni khat khasnya dan kepada orang awam amnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda