Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku wakil kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan berangkat ke Rumah Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam di Bandar Seri Begawan bagi menandatangani buku takziah berikutan kemangkatan Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Ratu Elizabeth II, Queen of the United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland, hari ini.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia telah dijunjung oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe.
Turut hadir bagi penandatanganan buku takziah berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.
Baginda Ratu Elizabeth II mangkat pada 8 September 2022 ketika berusia 96 tahun.
Berikutan kemangkatan Baginda Ratu, anakanda Baginda iaitu Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Charles III diisytiharkan menjadi King of the
United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland yang baharu.