Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi berkenan berangkat menghadiri Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato Sri’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) dan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK I).
Darjah-darjah berkenaan disembahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Sultan Yang Dipertuan bagi Negeri Johor Darul Ta’zim pada majlis yang berlangsung di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman.
Semasa majlis tersebut, Duli Yang Maha Mulia telah menyembahkan SMIJ kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Dalam majlis yang sama, Duli Yang Maha Mulia juga mengurniakan DK I kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Juga berangkat ke Majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Malik dan Tunku Temenggong Johor, Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-Haj.
Terdahulu sebelum itu, majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti Negeri Johor,
Sahibus Samahah Dato’ Haji Yahya bin Ahmad.
Manakala, Doa Penutup dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Pada sebelah petang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat mengucapkan selamat berangkat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim.
Juga berangkat, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj.
Sebelum berangkat dari The Empire Brunei, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.