Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan tinjau aset TUDB, TLDB

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani & Hakim Hayat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan meneruskan lagi lawatan kerja ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dan Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia adalah susulan daripada keberangkatan lawatan kerja Baginda ke Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), baru-baru ini.

    Keberangkatan Baginda Sultan di Pangkalan TUDB, Rimba, dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

    Di pangkalan tersebut, Baginda Sultan berkenan dijunjung meninjau lebih dekat aset-aset TUDB dan pemeliharaan pesawat-pesawat di Hangar A dan Hangar B.

    Antara pesawat-pesawat yang diberikan sembah penerangan kehadapan majlis Baginda Sultan ialah pesawat S70i, BO105, CN235, dan Pilatus PC7.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima sembah penerangan semasa lawatan kerja ke TUDB.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat melawat ke Hangar A, Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei.
    Baginda Sultan ketika berkenan menerima sembah taklimat mengenai penyelenggaraan pesawat udara daripada Mejar (B) Haji Kamaluddin bin Haji Apong.
    Baginda Sultan ketika berkenan melihat bahagian dalam pesawat di Hangar B, Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei.
    Baginda Sultan berkenan berangkat melawat salah satu kemudahan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat melawat ke Domestic Supply Flight.
    Baginda Sultan ketika berkenan berangkat melawat ke Pusat Latihan Tentera Laut.
    Baginda Sultan ketika berkenan dijunjung bergambar bersama Lt Hidayatul Zabidah dan ahli keluarga.
    Baginda Sultan ketika berkenan beramah mesra bersama murid-murid Sekolah Rendah TLDB.

    Baginda Sultan ketika berkenan melawat ke Ground Support Equipment.

    Baginda Sultan seterusnya berangkat melawat ke Cawangan Bekal yang menempatkan stor domestik dan stor teknikal, dan seterusnya ke Ground Support Equipment, yang melaksanakan pemeliharaan dan pembaikan ke atas alat kelengkapan serta peralatan bantu yang digunakan bagi melaksanakan aktiviti pemeliharaan pesawat udara.

    Baginda juga berkenan berangkat melawat barek bujang dan pejabat (Blok A dan B), dan juga berangkat ke Dewan Punai (Rumah Masak) bagi menandatangani lembaran kenangan keberangkatan.

    Dari Pangkalan TUDB, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan meneruskan lagi lawatan ke Pangkalan TLDB, di Muara, yang didahului dengan lawatan ke Sekolah Rendah TLDB.

    Keberangkatan Baginda Sultan di sekolah berkenaan dijunjung oleh Guru Besar Sekolah Rendah TLDB, Hajah Salina binti Haji Abdul Karim.

    Semasa lawatan tersebut, Baginda Sultan berkenan mendekati murid-murid untuk mengetahui hal ehwal murid-murid dari segi perkembangan pendidikan dan aktiviti yang mereka ikuti.

    Di kesempatan itu, para guru dan murid juga mengambil peluang untuk beramah mesra bersama Baginda Sultan.

    Sekolah tersebut mempunyai seramai 208 orang murid dan 29 orang guru bagi sesi pagi, dan 223 orang murid dan 13 orang guru bagi sesi petang.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan berangkat meneruskan lawatan ke rumah-rumah kediaman pegawai dan PTB Kanan TLDB, diikuti dengan sesi sembah taklimat di Multi National Coordination Centre (MNCC) oleh Pemerintah TLDB, Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Haji Othman bin Haji Suhaili @ Suhaily. Baginda berangkat ke Pusat Latihan Tentera Laut bagi lawatan seterusnya.

    Baginda seterusnya berangkat melawat ke simpang flat Jalan Padang, di mana Baginda telah disampaikan sembah taklimat mengenai keadaan struktur bangunan flat kediaman yang tidak lagi selamat untuk didiami dan telah dikosongkan.

    Sementara itu di Limbungan Jeti Bravo, Baginda Sultan berkenan dijunjung melihat kerja-kerja penaiktarafan projek shiplift Bravo dan seterusnya melawat Syncrolift Alpha bagi menyaksikan demonstrasi penurunan kapal KDB Berkat.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan meninjau beberapa prasarana yang terdapat di Pangkalan TLDB, antaranya barek bujang, dewan makan sementara, kuartermaster TLDB, dan barek kelamin bagi pegawai tidak bertauliah (PTB) rendah.

    Baginda Sultan kemudian berkenan meninjau Vanguard Logistic Store Bravo yang berperanan sebagai tempat penyimpan alat-alat ganti kapal, sebelum mengakhiri lawatan di Mes Pegawai TLDB bagi majlis santap.

    Di mes pegawai tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan menandatangani lembaran kenangan sebelum berangkat meninggalkan majlis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda