Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Green Brunei telah melaksanakan satu inisiatif kempen membersihkan Sungai Brunei yang turut disertai oleh lebih 130 sukarelawan tanah air, kelmarin.
Kempen tersebut merupakan sebahagian daripada kempen global tahunan Minggu Diplomasi Hijau Kesatuan Eropah (EU)-ASEAN yang dilancarkan oleh EU dan negara anggotanya untuk memberikan inspirasi dan menggalakkan tindakan untuk alam sekitar.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Green Brunei, sukarelawan terdiri daripada penghulu dan ketua-ketua kampung, para pelajar, pegawai kerajaan dari Pejabat Daerah Brunei dan Muara, Pusat Promosi Kesihatan (HPC) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah bergabung tenaga dalam mengungkayahkan kempen tersebut.
Semasa menyampaikan ucapan, Duta EU ke ASEAN, Tuan Yang Terutama Sujiro Seam antaranya menekankan kepentingan sungai yang bersih kepada alam sekitar dan ekonomi.
Kongsi Tuan Yang Terutama, terdapat 10 buah acara sedang berlangsung di negara-negara ASEAN sebagai sebahagian daripada Minggu Diplomasi Hijau EU-ASEAN 2023 di mana acara-acara berkenaan menggalakkan belia dan masyarakat tempatan untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti peralihan hijau.
Tuan Yang Terutama turut menyatakan Minggu Diplomasi Hijau EU-ASEAN 2023 menunjukkan komitmen EU untuk terus bekerjasama dengan ASEAN ke arah masa depan yang lebih hijau dan untuk menggalakkan individu, komuniti dan organisasi mengambil tindakan tegas pada masa hadapan untuk melindungi, memelihara dan memulihkan alam sekitar kita buat masa ini dan untuk generasi masa hadapan.
Menerusi pelaksanaan kempen berkenaan, sebanyak 95 beg plastik, seberat lebih 1356.50 kilogram telah berjaya dikumpulkan dari pelbagai zon di Kampong Ayer, termasuk Kampung Siamas, Kampung Setia, Kampung Saba Darat, Kampung Sungai Kebun dan Kampung Bakut Berumput.
Antara sampah yang dikumpulkan ialah atap zink, lampin, botol plastik, bekas plastik, pintu peti ais, basikal, tayar, styrofoam dan tilam sofa.
Selepas acara pembersihan, para sukarelawan juga terlibat dalam perbincangan aktif untuk mengetahui tentang inisiatif EU mengenai alam sekitar, serta refleksi mereka tentang pembersihan.
Para sukarelawan menyatakan mempunyai kesedaran dan pemahaman yang lebih baik tentang skala masalah pengurusan sisa di Kampong Ayer.
Acara itu disokong oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan; Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan; HPC, Kementerian Kesihatan, Abraco Development dan VFAST.