Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Seramai 250 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah menghadiri Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit sempena Penukaran Nama Bandar Brunei Menjadi Bandar Seri Begawan, hari ini.
Majlis di Kubah Makam Diraja, Jalan Kubah Makam Diraja itu dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.
Juga hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di KHEDN; ketua-ketua jabatan, ahli-ahli Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan di bawah KHEDN serta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di dalam kawasan Bandar Seri Begawan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Ghani yang kemudiannya mengetuai bacaan Surah Yasin dan tahlil beramai-ramai.
Nama Bandar Brunei ditukar menjadi Bandar Seri Begawan pada 4 Oktober 1970 tepat jam 12:01 pagi bagi mengenang jasa seorang raja dan Ulul Amri yang juga digelar sebagai ‘Akitek Brunei Moden’ yang sangat dikasihi.
Bandar Seri Begawan telah melalui kemajuan dan perkembangan yang pesat dari segi pembangunan dan infrustruktur dengan kemudahan dan prasarana awam serta taman riadah juga disediakan untuk dinikmati oleh rakyat dan penduduk dalam suasana bernegara dan beribu kota yang selesa, aman, tenteram serta diredai Allah SWT.
