Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Bahyiah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Mahkamah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas apabila perlu untuk menegakkan keyakinan awam dalam pentadbiran keadilan dan integriti profesion perundangan, bagi melindungi orang awam yang bergantung pada khidmat peguam cara.
Selain itu, satu mesej penting yang harus disampaikan oleh komuniti perundangan adalah sebarang kemerosotan pada piawaian adalah tidak dapat diterima dan menekankan bahawa peguam yang telah didapati bersalah atas salah laku akan dihukum sewajarnya.
Perkara tersebut disampaikan oleh Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong semasa ucapan tahunan sempena Upacara Pembukaan Tahun Undang-undang yang berlangsung di Mahkamah Besar, pagi tadi.
Dalam ucapannya, beliau menyentuh mengenai isu etika dan tahap profesional dalam profesi perundangan, yang mana Yang Amat Arif mengongsikan bahawa menurut data yang diberikan oleh Persatuan Undang-undang Brunei Darussalam, terdapat 23 aduan yang diperdengarkan oleh Jawatankuasa Siasatan dari tahun 2018 hingga 2022, yang mana
tiga daripadanya telah disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin.
Terdahulu, upacara dihadiri oleh Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim; Pemangku Menteri di JPM, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu selaku Timbalan Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-undang), dan Timbalan Menteri di JPM (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam), Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.
Majlis turut dihadiri oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat/Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, duta-duta dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai-pegawai kehakiman Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, pegawai dan kakitangan Jabatan Kehakiman Negara, Pejabat Peguam Negara, Persatuan Undang-undang, dan pegawai dan kakitangan dari pelbagai agensi penguatkuasaan kerajaan.
Upacara turut menyaksikan perbarisan kehormat oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) diperiksa oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Mahkamah Besar.
Semasa ucapan tahunan, beliau turut mengimbas mengenai perbicaraan secara dalam talian yang sekarang sudah menjadi sebuah ciri kekal mahkamah di mana sejumlah 3,542 kes telah diperdengarkan secara dalam talian di antara bulan Ogos 2021 dan Oktober 2022.
Beliau telah menekankan bahawa perbicaraan dalam talian akan kekal menjadi ciri mahkamah dan turut mengingatkan kepada pengamal perundangan untuk sentiasa mengemas kini dan peka akan kecelikan digital agar mereka tidak akan mengalami risiko tertinggal di belakang.


