Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beruang matahari mati dilanggar di LPT2

    KUALA TERENGGANU, 6 NOV – Seekor beruang matahari jantan ditemukan mati selepas dilanggar kenderaan di Kilometer (KM) 406 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT) pada kira-kira 8 pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Loo Kean Seong berkata beruang seberat 60 kilogram itu mati di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

    Beliau berkata bangkai haiwan liar itu telah diambil oleh anggota Perhilitan dan ditanam di kawasan sesuai.

    “Enam anggota Perhilitan telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan namun beruang tersebut telah mati akibat cedera parah di kepala.

    “Saya menasihatkan orang ramai yang melalui kawasan LPT2 supaya lebih berhati-hati terutama pada waktu malam bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman.

    Dalam perkembangan lain, Kean Seong berkata pihaknya juga menerima laporan mengenai seekor beruang yang berguling kesakitan di atas jalan di LPT2 dipercayai dilanggar kenderaan pada Ahad lepas.

    Video mengenai kejadian tersebut dikongsi di Facebook oleh seorang pengguna laman sosial itu dikenali sebagai Khairul Nizam.

    “Kita telah mengarahkan anggota ke lokasi kejadian iaitu di KM 422 LPT2 Ahad lepas tetapi beruang berkenaan sudah tidak kelihatan.

    “Kami percaya haiwan liar itu sudah kembali ke hutan berhampiran. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh lapor kepada Perhilitan,” katanya. – Bernama

    Gambar fail seekor beruang matahari masuk ke dalam perangkap yang dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Terengganu di Kampung Pengkalan Berangan, pada 2 Februari lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda