Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Susulan terdapat aduan-aduan daripada orang ramai mengenai syarikat-syarikat tidak berlesen menawarkan pakej pelancongan sama ada di dalam atau luar negara termasuk pakej umrah, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) hari ini menasihatkan orang ramai untuk berurusan dengan ejen-ejen berlesen sahaja.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hanya ejen-ejen pelancongan berlesen sahaja yang boleh menawarkan tempahan tiket, pakej percutian dalam dan luar negara termasuklah pakej haji dan umrah.
Mana-mana syarikat yang menjalankan aktiviti ejen pelancongan tanpa lesen sah akan diambil tindakan di bawah Akta Pelancongan, Bab 239 di bawah Bahagian 11 (1) akta tersebut dan jika sabit kesalahan, akan dikenakan denda tidak melebihi $10,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-keduanya sekali.
Manakala bagi kesalahan berterusan denda maksimum $100 setiap hari boleh dikenakan di bawah akta yang sama.
Jabatan Kemajuan Pelancongan turut memaklumkan bahawa jabatan adalah pengawal selia bagi ejen pelancongan di Brunei Darussalam iaitu seperti yang terkandung di dalam akta itu.
Sehubungan itu, bagi mana-mana syarikat yang berhasrat untuk mengendalikan sebarang aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan ejen pelancongan mestilah membuat permohonan ke Jabatan Kemajuan Pelancongan bagi mendapatkan lesen.
Sementara bagi syarikat yang sudah berlesen dan bercadang untuk mengendalikan perkhidmatan haji ataupun umrah hendaklah mendapatkan kebenaran dari Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Senarai ejen-ejen pelancongan terkini berlesen di jabatan tersebut boleh didapati di laman sesawang www.tourism.gov.bn yang akan sentiasa dikemaskinikan dan orang ramai digalakkan untuk sentiasa merujuk laman sesawang yang disediakan.
Bagi sebarang pertanyaan atau aduan mengenai ejen-ejen pelancongan, orang ramai bolehlah menghubungi talian 2382805 / 2382803 di waktu pejabat ataupun berhubung melalui e-mel enforcement@tourism.gov.bn.