Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    BETCON23 peluang tingkat perniagaan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Inisiatif pertama Majlis Perniagaan BIMP-EAGA (BEBC) mengadakan BETCON23 adalah sangat tepat pada masanya dan amat penting ketika ia menyahut seruan para pemimpin BIMP-EAGA dalam mendorong sektor swasta memainkan peranan lebih penting memimpin kita semua menghadapi pemulihan pasca-pandemik dari segi perdagangan, pelancongan dan pelaburan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah juga percaya BETCON23 adalah platform yang sesuai untuk rangkaian ahli perniagaan mempromosi produk dan perkhidmatan mereka, meneroka peluang perniagaan yang berpotensi akan meningkatkan lagi kerjasama ke arah mencapai Wawasan BIMP-EAGA 2025.

    Yang Berhormat Dato menekankan perkara tersebut semasa merasmikan Persidangan Perdagangan BIMP-EAGA (BETCON23) di Dewan Bridex, Jerudong hari ini.

    Hadir sama merasmikan BETCON23 ialah Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib; Penasihat Kanan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Dr Rizal Edwin; Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Mindanao, Setiausaha Maria Belen S.Acosta dan Pengerusi BEBC dan Pengerusi BEBC Brunei, Pengiran (Dr) Haji Haris bin Pengiran Duraman.

    Yang Berhormat Dato difahamkan BETCON23 menarik lebih 200 peserta dan termasuk Pameran B2B, perbincangan panel, forum, padanan perniagaan, B2C yang memberi tumpuan kepada lima tonggak strategik BIMP-EAGA iaitu Perhubungan, Food Basket, Pelancongan, Alam Sekitar dan Sosial dan Pendidikan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menyampaikan ucapan pada majlis perasmian BETCON23. – Antara yang hadir pada Simposium ELPP di PTES, kelmarin. – Gambar oleh Rafi Rosli
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian BETCON23. – Gambar oleh Rafi Rosli
    Salah satu MoU yang dimeterai pada majlis tersebut. – Gambar oleh Rafi Rosli
    Gambar oleh Rafi Rosli

    Dalam ucapannya, beliau turut mengongsi hasil daripada Mesyuarat Menteri BIMP-EAGA ke-26 dan Mesyuarat Berkaitan di mana pertumbuhan ekonomi yang positif dengan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat 7.7 peratus kepada AS$392.1 bilion.

    BIMP-EAGA turut mencatatkan peningkatan dalam imbangan dagangannya, daripada AS$70.2 bilion hingga AS$84.8 bilion.

    Manakala itu, katanya, pelancongan menunjukkan pemulihan penuh dengan ketibaan meningkat sebanyak 137.3 peratus kepada 114.8 juta pada 2022 daripada 48.4 juta pada 2021.

    Selain itu, sub-rantau terus menjadi hab pelaburan yang menarik dengan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat 46.7 peratus kepada AS$19.9 bilion, manakala pelaburan domestik meningkat 19.3 peratus kepada AS$8.7 bilion.

    Perkembangan lain termasuk projek infrastruktur yang antara lain termasuk jalan raya, pelabuhan laut dan lapangan terbang, infrastruktur ICT serta sambungan kuasa dengan bilangan projek telah meningkat tiga kali ganda daripada 57 projek pada 2017 kepada 129 projek pada 2023, berjumlah AS$38.87 bilion.

    Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur BETCON23, Haji Alimen bin Haji Ja’afar turut menyampaikan ucapan yang antara lainnya menyentuh mengenai Wawasan BIMP-EAGA 2025 (BEV2025) yang bertujuan untuk mengubah ekonomi BIMP-EAGA daripada bergantung semata-mata pada pengekstrakan sumber kepada pendekatan kepelbagaian yang merangkumi pemprosesan peringkat tinggi dan aktiviti bukan berasaskan sumber.

    Strategi asas untuk mencapai matlamat itu, katanya, adalah dengan menggalakkan pelaburan sektor swasta dengan mewujudkan kemudahan persekitaran. Pada masa yang sama, kerajaan memainkan peranan dalam memastikan iklim perniagaan yang kondusif.

    Majlis turut menyaksikan penandatanganan surat hasrat (LoI) mengenai One Borneo Quarantine Initiative yang bertujuan untuk melindungi Pulau Borneo daripada serangan serangga perosak dan penyakit dan pelancaran laman web statistik yang menjadi rujukan bagi pihak berkepentingan yang berkaitan dan meningkatkan kewujudan indikators BIMP-EAGA.

    Majlis diteruskan dengan sesi penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara beberapa buah syarikat yang bertujuan untuk merapatkan lagi serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara syarikat-syarikat yang terlibat.

    MoU menyaksikan penandatanganan antara syarikat PT Sterily Halal Internasional dan Riza Fudhlana Farming; Sahamada Corporation Sdn Bhd dan RNF Trading; Life Water Marketing Sdn Bhd dan J.S. Jaya Sdn Bhd dan Syarikat Perniagaan Muneera; Hong Xin Food Sdn Bhd dan Hui Huang Enterprises, Persekutuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei Darussalam dan Palawan Economic Development Council (BIMP-EAGA Business Council Palawan) dan banyak lagi.

    BETCON23 ialah acara perdana bersempena Mesyuarat Menteri-menteri BIMP-EAGA ke-26 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan lain yang akan berlangsung bulan ini.

    Dianjurkan oleh BEBC dan disahkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan sokongan MPC dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), BETCON dijangka akan menarik kira-kira 300 peserta dan 1,000 delegasi dari wilayah BIMP-EAGA, rakan pembangunan BIMP-EAGA khususnya Korea, Jepun, China dan Wilayah Utara Australia serta vendor anta-rabangsa.

    BETCON akan menyediakan tempat untuk perusahaan-perusahaan dari rantau BIMP-EAGA dan seterusnya mengetengahkan produk, perkhidmatan dan prospek pelaburan mereka.

    Matlamat utamanya adalah menggalakkan perdagangan, pelancongan dan pelaburan yang melengkapkan hasil daripada lima tonggak strategik Wawasan BIMP-EAGA 2025.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...