WASHINGTON, 27 JULAI – Pemilik Blue Origin, Jeff Bezos menulis sepucuk surat terbuka kepada NASA semalam menawarkan diskaun sebanyak AS$2 bilion untuk membenarkan syarikatnya membina sebuah kapal pendarat bulan, Blue Moon.
Kontrak sistem pendaratan manusia, bernilai AS$2.9 bilion, dianugerahkan kepada SpaceX pada April, namun Blue Origin dan syarikat ketiga Dynetics memfail bantahan yang buat masa sekarang sedang menunggu keputusan daripada Pejabat Akauntabiliti Kerajaan AS.
Amerika Syarikat berhasrat kembali ke bulan pada 2024 di bawah program Artemis, menggunakan pembelajaran yang dipelajari untuk bersiap sedia melancarkan misi Marikh pada 2030.
Dalam suratnya kepada Pentadbir NASA Bill Nelson, Bezos berkata tawaran itu akan ‘mengisi kekurangan pembiayaan’ yang mendorong agensi angkasa lepas memilih seorang kontraktor, dan bukannya dua yang akan bersaing di antara satu sama lain. – AFP
