Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Brunei Gas Carriers (BGC) terus berkembang dan berubah sepanjang tempoh 25 tahun yang menyaksikan BGC mentransformasikan armada kapalnya, membangunkan warganya serta terus mempelbagaikan perkhidmatannya selaras dengan permintaan industri perkapalan.
Sebagai anggota sektor yang penting, BGC berharap untuk terus memacu perkembangan bakat maritim bagi Negara Brunei Darussalam dan bekerjasama dengan organisasi-organisasi relevan yang lain dalam sektor berkenaan untuk melahirkan individu-
individu yang berkeupayaan serta berkemahiran tinggi selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
Perkara itu dijelaskan oleh Pengarah Urusan BGC, Kapten Abdul Mateen bin Abdurrahman Liew dalam ucapannya semasa perasmian Logo Ulang Tahun BGC ke-25 yang berlangsung di Pejabat BGC, Jerudong, hari ini.
Beliau turut merakamkan perasaan gembira dan bangga dalam sama-sama menyambut mercu tanda yang penuh bermakna itu, sebagai salah seorang daripada beberapa individu yang menjadi sebaha-gian daripada sejarah 25 tahun BGC yang bermula dengan latihan kadetnya pada 2000.
Kapten Abdul Mateen juga memuji evolusi dan pertumbuhan BGC dalam beberapa tahun kebelakangan ini di mana ia telah berjaya untuk mentransformasikan armada kapalnya, mengembangkan warganya serta terus kekal inovatif dalam pasaran yang amat kompetitif masa kini.
Beliau menambah, untuk mencapai jubli perak bukannya satu pencapaian yang mudah, mercu tanda itu mempamerkan kejayaan BGC dan peranan yang dimainkannya dalam menyokong Rantaian Nilai Hidrokarbon Brunei serta industri maritim.
BGC, ulasnya lagi, amat berbesar hati dan menghargai kesemua sumbangan yang dibuat oleh warganya, dahulu dan sekarang, yang telah membantu transformasi dan membentuk BGC menjadi apa yang ada pada hari ini.
Majlis kemudian menyaksikan perasmian logo yang disempurnakan oleh Kapten Abdul Mateen dan diteruskan dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Tolak Bala.
Dengan perasmian logo ulang tahun berkenaan, BGC akan meraikan sambutan jubli perak berkenaan menerusi pelbagai acara yang dirancang sepanjang tahun termasuk penerbitan buku kenang-kenangan, barangan eksklusif ulang tahun ke-25, penerbitan buku kanak-kanak, Hari Keluarga Walk-A-Hunt dan blok istimewa #BGC25.