Sunday, January 5, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Biak ‘nyamuk baik’ perangi denggi

    TEGUCIGALPA, HONDURAS — Selama beberapa dekad, mencegah demam denggi di Honduras bermakna mengajar orang ramai untuk takut pada nyamuk dan mengelak gigitannya.

    Kini, warga Honduras diajar mengenai cara yang mungkin lebih berkesan bagi mengawal penyakit itu – dan ia bertentangan dengan apa yang mereka pelajari sebelum ini.

    Itulah sebabnya mengapa puluhan orang bersorak bulan lalu ketika penduduk Tegucigalpa, Hector Enriquez menjulang balang kaca yang mengandungi nyamuk, kemudian membebaskan serangga-serangga itu ke udara.

    Enriquez, seorang tukang batu berusia 52 tahun, telah menawarkan diri untuk membantu menghebahkan rancangan bagi menangani denggi dengan melepaskan berjuta-juta nyamuk khas di ibu negara Honduras.

    Nyamuk-nyamuk yang dilepaskan oleh Enriquez di El Manchen – kawasan yang berleluasa dengan denggi, telah dibiakkan oleh saintis bagi membawa bakteria bernama Wolbachia yang mengganggu transmisi penyakit itu. Apabila nyamuk ini membiak, ia mewariskan bakteria tersebut kepada generasi seterusnya, sekali gus mengurangkan wabak pada masa depan.

    Seorang pegawai makmal menunjukkan seekor nyamuk jantan di kilang WMP di Medellin, Colombia pada 10 Ogos. – Gambar AP
    Edgard Boquin memegang secawan kapsul gelatin yang mengandungi telur nyamuk kering di Tegucigalpa, Honduras pada 22 Ogos. – Gambar AP
    Seorang pekerja MSF melepaskan nyamuk khas yang dijangkiti bakteria Wolbachia yang mengganggu penularan denggi, di Tegucigalpa, Honduras pada 24 Ogos. – Gambar AP
    Marlene Salazar memegang balang berisi larva nyamuk di kilang WMP di Medellin, Colombia pada 10 Ogos. – Gambar AP

    Strategi bagi memerangi denggi ini telah dipelopori sejak sedekad yang lalu oleh Program Nyamuk Dunia (WMP), sebuah badan bukan kerajaan, dan ia sedang diuji di berpuluh-puluh buah negara. Dengan lebih separuh penduduk dunia berisiko dijangkiti denggi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi sepenuh perhatian terhadap pelepasan nyamuk di Honduras dan di tempat lain, dan bersedia untuk mempromosikan strategi itu secara global.

    Di Honduras, di mana 10,000 orang diketahui dijangkiti denggi setiap tahun, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) bekerjasama dengan program nyamuk ini dalam tempoh enam bulan akan datang untuk membebaskan hampir sembilan juta nyamuk yang membawa bakteria Wolbachia.

    “Terdapat keperluan mendesak untuk pendekatan baharu,” kata Scott O’Neill, pengasas program nyamuk ini.

    Para saintis telah membuat kemajuan besar dalam beberapa dekad kebelakangan ini dalam mengurangkan ancaman penyakit berjangkit, termasuk virus bawaan nyamuk seperti malaria. Tetapi denggi adalah pengecualian: Kadar jangkitannya terus meningkat.

    Model-model menganggarkan bahawa kira-kira 400 juta orang di sekitar 130 negara dijangkiti denggi setiap tahun. Kadar kematian akibat denggi adalah rendah – dianggarkan 40,000 orang meninggal setiap tahun akibatnya, tetapi wabak-wabak boleh membebankan sistem kesihatan dan memaksa ramai orang mengambil cuti daripada bekerja atau sekolah.

    “Apabila awda diserang demam denggi, ia selalunya sama seperti mendapat influenza yang paling teruk yang awda boleh bayangkan,” kata Conor McMeniman, penyelidik nyamuk di Universiti Johns Hopkins. Ia biasanya dikenali sebagai ‘demam tulang patah’ atas sebab tertentu, kata McMeniman.

    Kaedah tradisional mencegah penyakit bawaan nyamuk tidak begitu berkesan terhadap denggi.

    Nyamuk Aedes aegypti yang paling biasa menyebarkan denggi telah menjadi resistan terhadap racun serangga, yang memberikan hasil yang sementara walaupun dalam senario terbaik. Dan kerana virus denggi datang dalam empat bentuk berbeza, ia lebih sukar untuk dikawal melalui vaksin.

    Nyamuk Aedes aegypti juga merupakan musuh yang mencabar kerana ia paling aktif pada waktu siang – bermakna ketika itulah ia menggigit, jadi kelambu tidak banyak membantu melawannya. Oleh kerana nyamuk ini berkembang dengan baik dalam persekitaran yang panas dan lembap, dan di bandar-bandar yang padat, perubahan iklim dan urbanisasi dijangka menyebabkan usaha memerangi denggi menjadi lebih sukar.

    “Kita memerlukan kaedah yang lebih baik,” kata Raman Velayudhan, penyelidik dari Program Penyakit Tropika Global Diabaikan WHO. “Wolbachia sememangnya penyelesaian jangka panjang yang mampan.”

    Bakteria ini wujud secara semula jadi dalam kira-kira 60 peratus spesies serangga, cuma bukan dalam nyamuk Aedes aegypti.

    “Kami bekerja selama bertahun-tahun dalam perkara ini,” kata O’Neill, 61, yang dengan bantuan pelajarnya di Australia akhirnya menemui cara memindahkan bakteria daripada lalat buah ke dalam embrio nyamuk Aedes aegypti dengan menggunakan jarum kaca mikroskopik.

    Kira-kira 40 tahun yang lalu, saintis cuba menggunakan Wolbachia dengan cara yang berbeza: untuk mengurangkan populasi nyamuk. Disebabkan nyamuk jantan yang membawa bakteria hanya akan menghasilkan anak dengan nyamuk betina yang turut memiliki bakteria tersebut, saintis akan melepaskan nyamuk jantan yang dijangkiti ke alam sekitar untuk membiak dengan nyamuk betina yang tidak dijangkiti, sekali gus akan menyebabkan telurnya tidak akan menetas.

    Namun, dalam proses itu, pasukan O’Neill membuat penemuan yang mengejutkan: Nyamuk yang membawa Wolbachia tidak menyebarkan denggi atau penyakit lain yang berkaitan, termasuk demam kuning, Zika dan chikungunya.

    Dan kerana nyamuk betina yang dijangkiti mewariskan Wolbachia kepada anaknya, ia akhirnya akan ‘menggantikan’ populasi nyamuk tempatan dengan populasi nyamuk yang membawa bakteria penghalang virus.

    Strategi penggantian ini memerlukan perubahan besar dalam pemikiran mengenai kawalan nyamuk, kata Oliver Brady, ahli epidemiologi di London School of Hygiene and Tropical Medicine.

    “Segala-galanya pada masa lalu adalah mengenai membunuh nyamuk, atau sekurang-kurangnya, menghalang nyamuk daripada menggigit manusia,” kata Brady.

    Sejak makmal O’Neill pertama kali menguji strategi penggantian ini di Australia pada tahun 2011, WMP telah menjalankan ujian yang melibatkan 11 juta orang di 14 buah negara, termasuk Brazil, Mexico, Colombia, Fiji dan Vietnam.

    Hasilnya begitu memberangsangkan. Pada 2019, ujian lapangan berskala besar di Indonesia menunjukkan penurunan sebanyak 76 peratus dalam kes denggi yang dilaporkan selepas nyamuk yang dijangkiti Wolbachia dilepaskan.

    Kebanyakan nyamuk di dunia yang dijangkiti Wolbachia telah ditetaskan di sebuah gudang di Medellin, Colombia, di mana WMP mengendalikan kilang yang membiakkan 30 juta nyamuk setiap minggu.

    Kilang tersebut mengimport telur nyamuk kering dari pelbagai bahagian dunia bagi memastikan nyamuk yang dibiakkan khas itu akan mempunyai ciri-ciri yang sama dengan populasi tempatan, termasuk ketahanan terhadap racun serangga, kata Edgard Boquin, salah seorang ketua projek Honduras yang bekerja untuk MSF.

    Telur kering itu diletakkan di dalam air dengan makanan serbuk. Setelah menetas, ia dibiarkan membiak dengan ‘koloni induk’ – keturunan yang membawa Wolbachia dan terdiri daripada lebih banyak nyamuk betina berbanding nyamuk jantan.

    Bunyi dengung yang berterusan memenuhi ruang tempat serangga mengawan dalam sangkar berbentuk kiub yang diperbuat daripada kelambu. Penjaga memastikan nyamuk-nyamuk itu mempunyai diet terbaik: Nyamuk jantan mendapat air bergula, manakala nyamuk betina ‘menggigit’ kantung darah manusia yang disimpan pada suhu 37 darjah Celsius.

    “Kami mempunyai keadaan yang sempurna,” kata penyelaras kilang itu, Marlene Salazar.

    Sebaik sahaja pekerja mengesahkan bahawa nyamuk-nyamuk baharu itu mengandungi Wolbachia, telurnya dikeringkan dan dimasukkan ke dalam kapsul seperti pil untuk dihantar ke tapak pelepasan.

    Pasukan MSF di Honduras baru-baru ini pergi ke setiap rumah di kawasan kejiranan berbukit di Tegucigalpa bagi mendapatkan bantuan penduduk dalam pengeraman telur nyamuk yang dibiakkan di kilang Medellin.

    Di sesetengah rumah, mereka telah mendapat kebenaran untuk menggantung pada dahan pokok, balang kaca berisi air dan kapsul yang mengandungi telur nyamuk. Selepas kira-kira 10 hari, nyamuk akan menetas dan terbang.

    Pada hari yang sama, beberapa orang pekerja dari MSF bergerak menaiki motosikal ke seluruh Tegucigalpa Utara dengan membawa balang berisi nyamuk yang sudah menetas dan melepaskan ribuan nyamuk tersebut ke udara di lokasi yang telah ditetapkan.

    Oleh kerana penglibatan komuniti adalah kunci kejayaan program ini, doktor dan sukarelawan telah menghabiskan enam bulan yang lalu dalam mendidik pemimpin kejiranan, termasuk ahli kumpulan yang berpengaruh, bagi mendapatkan kebenaran mereka untuk bekerja di kawasan di bawah kawalan mereka.

    Beberapa soalan yang paling biasa diajukan daripada masyarakat ialah sama ada Wolbachia akan membahayakan manusia atau alam sekitar. Pekerja menjelaskan sebarang gigitan nyamuk khas itu atau keturunannya tidak berbahaya.

    Maria Fernanda Marin, seorang pelajar berusia 19 tahun, bekerja untuk MSF di sebuah fasiliti di mana nyamuk yang dijangkiti Wolbachia dibiakkan untuk dilepaskan. Dia dengan bangganya menunjukkan gambar lengannya yang penuh dengan gigitan bagi mendapatkan kepercayaan penduduk setempat.

    Lourdes Betancourt, 63, seorang lagi sukarelawan dengan pasukan MSF, pada mulanya curiga dengan strategi baharu itu. Tetapi Betancourt – yang beberapa kali dijangkiti denggi, kini menggalakkan jiran-jirannya untuk membiarkan ‘nyamuk baik’ itu membiak di halaman rumah mereka.

    “Saya beritahu orang ramai supaya jangan takut, ini bukan perkara buruk, percayalah. Ia akan menggigit awda, tetapi awda tidak akan mendapat denggi,” kata Betancourt. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda