Oleh Ali Imran Mohd Noordin
KUALA LUMPUR – Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis mengenai peranan pihak media, khususnya wartawan yang juga turut ikut sebagai petugas barisan hadapan dalam mengemas kinikan berita-berita tentang COVID-19.
Penulis berpendapat kalau boleh wartawan pun mahu tinggal di dalam rumah seperti orang lain juga. Namun atas tuntutan kerja, pihak media tidak boleh berbuat demikian.
Perutusan khas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac yang lalu menyatakan dalam perkara keenam tentang penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.
Antara yang tersenarai dalam perkhidmatan penting negara adalah air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.
Memandangkan sektor penyiaran ada disebut dalam senarai itu, makanya seluruh tenaga yang terlibat dalam bidang ini termasuklah para wartawan, jurugambar dan juruvideo perlu terus bertugas.
Jika tidak, rakyat mungkin akan terpinga-pinga dan tercari-cari berita serta perkembangan wabak penyakit COVID-19 yang sedang melanda Malaysia dan juga seluruh dunia. Lebih bahaya lagi, tanpa sumber maklumat yang sah, ditakuti ‘Coronapalatau” akan berleluasa dan menyebarkan berita palsu yang mungkin dipercayai ramai.
Semua petugas di Bernama turut berganding bahu untuk memastikan perjalanan operasi termasuk Jabatan Pengarang terus lancar. Ada juga yang bertugas dari rumah. Meskipun apa yang kami lakukan ini adalah tugas, namun rasa terharu apabila membaca nota terima kasih daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah untuk kepada semua di Bernama yang menjadi ‘frontliners’ dalam komunikasi.
Sememangnya sejak Disember 2019 hingga ke hari ini, penulis menyatakan tugas mereka sebagai para wartawan mengikuti rapat perkembangan isu COVID-19. Dalam kesibukan tugas, mereka juga tidak lupa untuk sama-sama mendoakan agar sesiapa yang dijangkiti penyakit ini supaya tabah dan pulih segera. Terima kasih tidak terhingga kepada semua anggota ‘barisan hadapan’ yang bertungkus-lumus melaksanakan tugas yang mungkin boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan sendiri.
Pada awal Februari lalu ketika bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly bin Ahmad mengumumkan kes pertama COVID-19 yang melibatkan warganegara Malaysia, semua wartawan yang hadir sudah boleh mengagak bahawa perkara ini akan jadi besar di Malaysia.
Tidak lama selepas itu, berlaku pula tsunami politik negara. Yang menjadi persoalan dalam kalangan kami adalah tidakkah mereka ini sedar akan bahaya wabak yang sudah mula melanda negara? Bolehkah berkumpul beramai-ramai semata-mata demi perjuangan politik?
Hakikatnya, pada waktu itu tiada sebarang halangan untuk mengadakan aktiviti yang melibatkan kumpulan orang ramai. Perlawanan bola sepak Liga Super pun masih berjalan seperti biasa.
Pada waktu itu, kes COVID-19 melibatkan jangkitan tempatan masih terkawal. Boleh jadi atas sebab itu tidak timbul keresahan besar dalam kalangan masyarakat. Penulis juga menyatakan kebimbangan mereka hampir menjadi kenyataan apabila terdapat ahli politik yang disyaki mempunyai kontak rapat dengan salah seorang pesakit yang disahkan positif COVID-19.
Penulis menambah, di dalam grup ‘WhatsApp’ bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), para wartawan mula bertanya, “patutkah kami semua kuarantin kendiri?” dan “bagaimana dengan peralatan kami terutamanya mikrofon, perlukah disanitasi? Begitu juga telefon bimbit?”
Ada beberapa rumah berita terus keluarkan arahan kepada kakitangan mereka untuk mengsanitasikan semua peralatan yang digunakan, dan staf terlibat dengan liputan terkait ahli politik itu untuk pergi membuat pemeriksaan kesihatan.
Selepas itu, operasi berita berjalan seperti biasa. Masing-masing sudah tahu tindakan yang perlu dibuat sekiranya keadaan memerlukan. Penulis menyatakan selari dengan pengumuman PKP oleh Perdana Menteri, semua rumah berita perlu menyusun semula antaranya, guna tenaga kerja, penggunaan pejabat dan sebagainya.
Wartawan pun mula berfikir panjang apabila ada jemputan ke sidang media. Bila ada jemputan ke sesi sidang akhbar sahaja, soalan pertama “dalam keadaan macam ini pun nak buat sidang akhbar?”, “kenapa tak guna FB Live?”, dan “tak bolehkah keluarkan kenyataan media sahaja?”
Sebagai wartawan, penulis turut merasa risau akan keselamatan diri, lebih-lebih lagi yang sudah berkeluarga, bimbang nasib anak dan isteri, tak tinggal juga fikirkan emak dan ayah. Walau bagaimanapun, menurut penulis ada sesetengah perkara memang tidak boleh dilapor hanya dengan menggunakan teknologi. Dalam hal ini, pengamal media perlu berada di lapangan untuk menjadi mata dan telinga masyarakat dan melaporkan apa yang sebenarnya berlaku.
Jurugambar perlu hadir di pos-pos kawalan polis dan tentera untuk mendapatkan gambar sebenar keadaan di jalanan. Wartawan pula tetap perlu berada di kawasan awam dan menemu bual orang-orang yang berkaitan untuk mendapatkan bahan berita yang benar, tepat dan menyeluruh.
Penulis mensyukuri terhadap inisiatif penganjur sidang media yang sudah mengambil langkah perlu seperti mengehadkan jumlah wartawan yang dibenarkan hadir, pemeriksaan suhu badan, penyediaan hand sanitizer serta menyusun kerusi mematuhi arahan penjarakkan sosial.
Dalam masa yang sama, penulis juga menjelaskan bahawa tidak hanya menyalurkan berita yang disiarkan, rumah-rumah berita turut menghasilkan antaranya video, infografik dan poster untuk memudahkan masyarakat faham dengan apa yang berlaku.
“Panjang sangat nak baca, lukis boleh?” Itulah jenaka yang biasa kita dengar, kongsi penulis.
Menurut penulis proses penghasilan berita dalam format berbeza memerlukan kepakaran individu yang berbeza.
Kita perlukan pasukan editorial grafik yang kerjanya fokus kepada menyiapkan bahan-bahan ini. Ini memandangkan proses tersebut memerlukan arahan dan saringan maklumat yang ketat, maka adalah lebih cekap untuk mereka melakukan tugas di pejabat. Lagipun, tidak semua pereka grafik memiliki peralatan yang sesuai di rumah masing-masing.
Penulis menambah bukan hanya petugas-petugas yang dijelaskan awal, malah ramai lagi tenaga kerja diperlukan untuk melahirkan sesuatu berita.
Para pengarang, penyunting, perkhidmatan teknikal, pengawal keselamatan sehinggalah kepada pencuci tandas, semuanya mempunyai peranan untuk sama-sama membantu kelancaran operasi rumah berita.
Menurut penulis juga mereka sudah berusaha untuk meminimumkan tenaga kerja, tetapi hakikatnya, berita tidak ada di dalam pejabat, mereka masih perlu bergerak keluar dan melakukan tugas. Memang tidak dinafikan, sebagai petugas pihak media juga teringin untuk tetap berada di dalam rumah sahaja.
Penulis menyeru kepada seluruh masyarakat agar tetap berada di dalam rumah dan biarlah pihak media yang jadi mata dan telinga anda.
Malah penulis menekankan agar masyarakat tidak perlu jadi hero keluar ke sana-sini dengan alasan hendak tengok jalan raya kosong ke tidak, pusat membeli-belah kosong ke tidak, dan ada juga mahu tambah content pos dalam Facebook, dan berswafoto.
Sekali lagi penulis menekankan, biar mereka yang bergerak untuk anda dan anda hanya perlu duduk di rumah sahaja. Seperti kata Perdana Menteri, “Duduk di rumah dan lindungi diri anda dan keluarga.” – Bernama