Oleh Nurdiyanah R.
TEMBURONG, 11 NOV – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), baru-baru ini, telah menyempurnakan lapan sesi ceramah perancangan kewangan, keusahawanan dan perbankan digital bagi golongan kakitangan kerajaan, perusahaan mikro, ketua kampung dan anggota masyarakat di Daerah Temburong.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, hari ini, menyatakan pendekatan holistik terhadap ceramah kewangan telah dihadiri oleh lebih 200 orang yang mana bertujuan untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam masyarakat.
Ceramah perancangan kewangan BIBD telah disampaikan oleh Perancang Kewangan Islam bertauliah BIBD. Antara topik yang dibincangkan ialah asas belanjawan dan simpanan, pelaburan dan matlamat kewangan jangka panjang, perlindungan takaful serta perlindungan persaraan, zakat dan perancangan harta pusaka.
Menurut Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Perbankan Runcit BIBD, Awang Irwan bin Haji Lamit berkata BIBD sentiasa komited untuk meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan kewangan yang lebih baik seawal mungkin.
“Siri ceramah ini juga merupakan sebahagian daripada usaha BIBD untuk mendekati anggota masyarakat di Daerah Temburong, dan kami berterima kasih kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) khususnya Pejabat Daerah Temburong atas kerjasama dalam perkara ini,” tambahnya.
Kakitangan BIBD turut menyampaikan ceramah kepada pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan usahawan yang berpotensi bagi memperkenalkan rangkaian produk dan perkhidmatan yang tersedia untuk perusahaan mikro tempatan dan bagaimana BIBD mampu menyokong mereka dalam perjalanan keusahawanan mereka.
Menyokong komitmen BIBD terhadap perbankan digital, Digital Customer Service Representatives (CSR) pihak bank berkenaan juga menyampaikan ceramah kepada hadirin bagi menunjukkan rangkaian perkhidmatan yang luas yang boleh dilakukan melalui BIBD NEXGEN.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Operasi BIBD, Lyndsay Spray berkata mereka menyedari bahawa orang ramai mungkin berada di tahap yang berbeza dalam perjalanan digital mereka maka ia secara langsung dapat mendekati para pelanggan dan memberi mereka bimbingan rapat tentang cara menggunakan perkhidmatan NEXGEN sepenuhnya yang begitu mustahak terutamanya dalam usaha untuk menggalakkan pelanggan untuk Go Digital.
Sehingga kini, BIBD merupakan satu-satunya institusi kewangan yang mengekalkan cawangan di Daerah Temburong, dilengkapi dengan tersedianya semua segmen pelanggan dengan perkhidmatan kaunter dan perkhidmatan perbankan digital melalui Self-Service Terminals, selaras dengan usaha strategik bank untuk memberi perkhidmatan kepada semua segmen pelanggan di seluruh negara.
Ini juga selaras dengan komitmen berterusan BIBD kepada masyarakat tempatan dalam memastikan semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi dapat mengakses rangkaian produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BIBD.