Saturday, November 16, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD ketengahkan kerjasama sokong PMKS

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengambil bahagian dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Pada majlis itu, BIBD telah mempamerkan kerjasamanya dengan kerajaan dalam menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.

    Acara itu membawa tema ‘Memperkasakan Penglibatan Masyarakat Dalam Mencapai Wawasan Brunei 2035’ dan sebagai institusi kewangan terbesar di negara ini, BIBD sentiasa menjadi penyokong kuat dan rakan strategik dalam memulakan usaha dan kerjasama ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Sebagai sebahagian daripada usahanya ke arah membantu kerajaan mencapai matlamat kedua (Kualiti Kehidupan) dan matlamat ketiga (Ekonomi Dinamik dan Mampan) wawasan 2035, BIBD melalui kerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah mewujudkan sebuah pasaran fizikal digelar Projek Tunas.

    Inisiatif tersebut sejajar dengan komitmen BIBD untuk menyediakan keterangkuman kewangan dengan menyasarkan segmen yang memerlukan sokongan dan peningkatan kemahiran melalui program keusahawanan di bawah jangkauan perusahaan sosial BIBD.

    Baginda Sultan berkenan dijunjung melawat petak pameran BIBD.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima pesambah di petak pameran BIBD.

    Pasaran Projek Tunas adalah gabungan sokongan yang diberikan kepada program keusahawanan di bawah KHEDN, iaitu program Satu Kampung Satu Produk (1K1P), Konsortium Muallafpreneurs dari Pusat Dakwah Islamiah (PDI) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Program BIBD SEED (Skim Pemerkasaan dan Pembangunan Keusahawanan Khas), dan Yayasan Usahawan Bakarih (program Bantuan keusahawanan Yayasan) di bawah Yayasan.

    Seramai 235 usahawan terdiri daripada 130 Muallafpreneur, 76 peserta BIBDSEED, 19 peserta 1K1P dan 10 Usahawan Bakarih Yayasan kini diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam projek tersebut.

    Pada majlis Sambutan Hari Raya tersebut, BIBD turut menyampaikan hamper Bruneian At Heart untuk Hari Raya 2023 dan Tahun Baharu Cina, yang dipenuhi dengan pilihan kegemaran tempatan.

    Ia dihasilkan dan dibungkus dengan teliti oleh perniagaan kecil yang mengutamakan kualiti, kemampanan dan ketukangan seperti Premium Coffee oleh Labi Coffee; Loose Leaf Tea oleh Kaimana Living; Popia Sampul oleh Syarikat Raihanah; Nestle Crumble Cookies oleh Leeya Cookies; Jagus Rempah oleh Keropok Lekor and Cucur CT; Tart Nenas Classic oleh Ketuhar Babu; Florentine Cookies oleh Danish Dania Enterprise; dan Madu Kelulut oleh Spice Cries.

    Satu set pakej hijau yang direka oleh pelajar BIBD ALAF melengkapkan kandungan hamper berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda