Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusannya untuk terus meningkatkan dan memperbaiki pengalaman pelanggan, Bank Islam Brunei Darussalam telah melaksanakan pembaharuan komprehensif dan holistik terhadap DNA perkhidmatan untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan mereka.
Awal bulan ini, bank berkenaan telah memulakan latihan untuk meningkatkan perjalanan pelanggan, menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, sini, hari ini.
Timbalan Ketua Pegawai Operasi, Lyndsay Spray menjelaskan, pelanggan hari ini lebih berpengetahuan, cerdas dan mempunyai harapan tinggi untuk pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Apa yang kami lakukan adalah mendokumentasikan setiap langkah perjalanan pelanggan dan mengetahui secara terperinci bagaimana bank dapat menyokong perjalanan itu untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada pelanggan,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, mereka berterima kasih atas maklum balas yang diberikan pelanggan dan memberi jaminan bahawa mereka mendengar dan memastikan untuk mencari cara meningkatkan kualiti dan standard perkhidmatan mereka.
Kenyataan menyatakan, komitmen untuk kecemerlangan pelanggan itu dipacu oleh semua peringkat organisasi di mana pengurusan kanan BIBD sering mengadakan lawatan ke premis BIBD yang terpilih untuk bertemu dengan kakitangan barisan hadapan di samping mendapatkan gambaran sebenar mengenai apa juga masalah pengalaman pelanggan agar dapat diperbaiki.
