Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD lancar kad mesra alam

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) hari ini telah mengumumkan pelancaran kad mesra alam yang diperbuat 100 peratus daripada bahan plastik kitar semula.

    Kad tersebut direka menggunakan teknologi dan fungsi yang sama seperti kad plastik konvensional, tetapi diperbuat daripada bahan boleh diperbaharui, memerlukan kurang tenaga untuk dihasilkan dan tidak menghasilkan toksin apabila dimusnahkan semasa
    pembakaran.

    Bersempena dengan pelancaran kad tersebut, bermula 3 Januari 2023, 100 permohonan pertama akan menerima hadiah eko eksklusif daripada bank berkenaan.

    Timbalan Pengarah Urusan II BIBD dan Ketua Kumpulan Perbankan Runcit, Awang Irwan bin Haji Lamit dalam kenyataan yang dikeluarkan dipetik berkata, “Pelancaran kad berkenaan menunjukkan komitmen bank untuk menangani cabaran kemapanan yang dihadapi dunia yang mana kad ini mempunyai fungsi sama seperti kad sedia ada.

    “BIBD bekerjasama rapat dengan pengeluar kad kami untuk memastikan alternatif yang
    lebih mampan kepada bahan semasa, seperti yang digunakan dalam kad kami hari ini,”
    jelasnya.

    Kad mesra alam baharu itu akan tersedia untuk semua pelanggan BIBD bermula hari ini, ia akan dikeluarkan untuk semua pendaftaran kad baharu dan pembaharuan kad untuk pelanggan sedia ada.

    Ia bertujuan agar semua kad BIBD digantikan dengan kad baharu berkenaan dan sebagai pengeluar kad terbesar di negara ini, ia adalah sebahagian daripada komitmen mereka di bawah Rangka Kerja Kelestarian dan Pelan Hala Tuju BIBD untuk menyepadukan kemapanan ke dalam amalan perniagaannya.

    Kad eko BIBD akan tersedia secara eksklusif untuk kad debit, klasik dan emas Mastercard serta kad emas Visa.

    Kenyataan menjelaskan, kad mesra alam berkenaan direka dengan menggunakan bahan mentah daripada lapisan 100 peratus polylactic acid (PLA), bioplastik yang dihasilkan untuk sumber boleh diperbaharui setiap tahun yang menawarkan pengurangan jejak karbon.

    Manakala itu, faedah tambahan bahan PLA adalah dari segi pengeluaran, yang memerlukan 65 peratus kurang tenaga untuk menghasilkannya, dan apabila dibakar, menghasilkan 70 peratus lebih rendah rumah hijau. Keputusan-keputusan berkenaan juga diperakui secara bebas dengan pihak ketiga.

    Dengan pelancaran berkenaan, ia adalah yang terbaharu dalam siri aktiviti dan inisiatif yang dijalankan oleh BIBD untuk menyokong komitmen yang lebih luas terhadap kemampanan, terutamanya sejak pelancaran Rangka Kerja Kemampanan dan Pelan Hala Tuju BIBD pada Oktober 2021.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda