Monday, November 18, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD Mega 30 tawar hadiah sehingga $130,000

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Pelanggan-pelanggan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) berpeluang untuk memenangi hadiah berjumlah sehingga $130,000 kepada 300 orang pelanggan dalam Kempen BIBD Mega 30 bersempena dengan ulang tahun perbankan Islam ke-30.

    Kempen selama sembilan bulan bermula awal Mac hingga akhir November 2023 akan memberikan ganjaran kepada 30 pemenang setiap bulan, tiga pemenang suku tahun dan tiga pemenang hadiah utama.

    Pemenang bulanan akan menerima hadiah baucar wang tunai, pemenang suku tahun akan menerima hadiah sijil simpanan BIBD Aspirasi dan pelaburan mutual fund manakala, tiga pemenang hadiah utama akan membawa pulang hadiah pelaburan mutual fund/term deposit bernilai $10,000 setiap satu.

    Penerangan mengenai kempen itu telah disampaikan bersama oleh Ketua Promosi dan Kempen, Kumpulan Perbankan Runcit BIBD, Awang Ahmad Firdaus bin Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim; Pengurus, Pembangunan Perniagaan Korporat, Kumpulan Perbankan Korporat, BIBD, Pengiran Sanusi Iskandar bin Pengiran Haji Ismail dan Ketua Pembangunan Perniagaan dan Strategi, BIBD Securities, Pengiran Ashrin bin Pengiran Mohd Zaidi pada sidang media di Galeri BIBD, Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Mereka menjelaskan, kempen itu merupakan kali pertama bank tersebut menawarkan promosi bersama berskala besar menerusi unit-unit perniagaan, Kumpulan Perbankan Runcit, Kumpulan Perbankan Korporat dan BIBD Securities di bawah payung Mega 30, untuk mengetengahkan keinginan bank memberikan ganjaran kepada pelanggan-pelanggan mereka di bawah kempen itu.

    Pengiran Sanusi Iskandar (kanan) memberikan penerangan mengenai Kempen BIBD Mega 30 semasa sidang media yang berlangsung di Galeri BIBD, Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Menurut mereka, para pelanggan yang mendaftar untuk pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh unit perniagaan berkenaan mempunyai lebih banyak peluang bagi memenangi hadiah menarik yang ditawarkan.

    Ia dibukakan kepada semua pelanggan baharu dan sedia ada BIBD yang membuka dan mengekalkan akaun mereka dengan BIBD.

    Promosi turut meliputi perkhidmatan dan produk yang meluas yang ditawarkan oleh BIBD di mana pelanggan akan mendapat penyertaan bagi pembiayaan terpilih dan permohonan kad kredit, pembukaan akaun, pendaftaran BIBD Perdana, memulakan pelaburan dengan BIBD Securities, pendaftaran perkhidmatan BIBD NEXGEN dan banyak lagi.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Kumpulan Perbankan Runcit BIBD, Awang Irwan bin Lamit dipetik menyatakan bahawa pada Januari lalu, mereka telah meraikan ulang tahun perbankan Islam ke-30 yang menandakan kejayaan perjalanan penubuhan perbankan Islam di Brunei sejak 1993.

    Mercu tanda itu, tambahnya, tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan berterusan daripada pelanggan mereka selama ini dan untuk menunjukkan penghargaan atas sokongan mereka, pihaknya mengalu-alukan pelanggan untuk menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 dengan penglibatan mereka semasa kempen sembilan bulan itu yang dipenuhi dengan ganjaran-ganjaran yang menarik.

    Promosi itu adalah satu daripada pelbagai kempen yang dirancang dan sedang berjalan sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 dalam usahanya memberikan ganjaran dan menggalakkan perbelanjaan di dalam negara terutamanya menjelang musim perayaan.

    Kempen itu akan dikendalikan selari dengan kempen-kempen yang sedang berjalan seperti BIBD Aspirasi dan kempen-kempen kad yang sedia ada.

    Dengan memberikan ganjaran kepada pelanggan-pelanggannya yang menggunakan platform digital BIBD NEXGEN seperti BIBD QuickPay dan BIBD Biznet, BIBD menunjukkan komitmennya untuk mempromosikan e-duit digital untuk menyokong agenda negara pintar dan Wawasan Brunei 2035.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda