Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Untuk menyatukan komuniti, meraikan pelanggan tetap dan menyokong perniagaan tempatan, BIBD Mega Karnival anjuran Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) akan diadakan pada 13 hingga 17 November di Dewan Bridex 1 dan 2, Jerudong.
BIBD Mega Karnival, selama lima hari akan diisikan dengan acara yang menyeronokkan, hiburan dan hadiah-hadiah menarik untuk dimenangi sepanjang karnival itu berlangsung.
Sehubungan itu, satu sidang media untuk karnival itu telah diadakan petang tadi di Tarindak D’Seni, Bandar Seri Begawan.
Turut hadir adalah rakan-rakan kongsi acara BIBD antaranya Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Mastercard, imagine Sdn Bhd dan lainnya.
Wakil daripada kontraktor rasmi acara, D’Sunlit, turut sama hadir semasa sidang media.
BIBD Mega Karnival akan mempamerkan lebih daripada 300 gerai, termasuk lebih 100 vendor makanan dan minuman, perhimpunan khusus lebih 20 vendor kopi tempatan dan hampir 40 model kereta terbaharu untuk diterokai pengunjung.
Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai produk seni tempatan, gerai fesyen, kecantikan dan pelbagai tawaran gaya hidup yang akan mencipta suasana pasar yang meriah.
Acara itu juga akan mempromosikan pengalaman tanpa tunai, menggalakkan pengunjung menggunakan pembayaran digital untuk kemudahan dan keselamatan tambahan sepanjang karnival.
Di samping itu, akan ada siri perbincangan santai iaitu Bicara Santai BIBD yang memfokuskan kepada topik seperti keusahawanan, kelestarian dan kesihatan mental, menjadikan acara ini satu acara yang memberi inspirasi, pendidikan serta keseronokan.
Usahawan baru akan berpeluang belajar daripada usahawan tempatan yang memahami tentang cabaran dan peluang dalam pasaran tempatan. Topik lain dalam perbincangan akan merangkumi kesihatan mental, kelestarian, serta perbincangan khas mengenai budaya kopi.
Dengan lebih 30 aktiviti yang dirancang, BIBD Mega Karnival mempunyai sesuatu untuk semua. Ahli keluarga boleh menikmati malam tayangan filem tempatan, permainan menyeronokkan, permainan trampolin, zoo haiwan peliharaan, permainan karnival, dan juga trek go-kart yang semuanya percuma.
Khas untuk pencinta kecergasan juga boleh menyertai cabaran Hyrox, manakala pengunjung Gen Z boleh menyertai pertandingan e-sukan, manakala pencinta kopi pasti teruja dengan konvensyen mini tentang kopi yang menampilkan vendor kopi tempatan, manakala peminat kereta boleh meneroka pelbagai model kereta terbaharu.
Dalam sidang media turut menyentuh mengenai dengan hadiah-hadiah yang disediakan, di mana pengunjung berpeluang memenangi hadiah daripada kumpulan hadiah bernilai $300,000, termasuk dua buah kereta.
BIBD akan menjalankan kempen Belanja & Menang, Transaksi & Menang, serta Mohon & Menang sepanjang acara, memberikan banyak peluang untuk membawa pulang hadiah yang istimewa.
Pasukan BIBD sedia membantu dan memberikan panduan mengenai pelbagai produk kewangan mereka, sama ada pengunjung mempertimbangkan untuk membeli rumah pertama, mencari pembiayaan perjalanan, atau memerlukan bantuan untuk memohon kad kredit, wakil BIBD akan berada di pada karnival berkenaan untuk memudahkan proses tersebut.
Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar ketika berucap semasa sidang media, “BIBD Mega Karnival adalah untuk mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami atas sokongan dan kesetiaan mereka.
Kami ingin mencipta acara ini sebagai cara untuk berhubung dengan pelanggan dan komuniti, mencipta ruang untuk keluarga menikmati masa bersama dan menyampaikan penghargaan kami kepada mereka yang telah menyokong kami.”
Majlis terdahulu menyaksikan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri menyerahkan sijil penghargaan kepada rakan-rakan kongsi BIBD Mega Karnival.