Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    BIBD perkasa inisiatif tanpa tunai

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Bahyiah Bakir & serahan BIBD

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) hari ini, telah melancarkan dua unit kiosk layan diri di Jaya Hypermart Centrepoint, Gadong, yang menandakan permulaan bagi pelancaran lebih banyak unit dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang di jenama dan cawangan Kumpulan Milimewah yang lain.

    Pemasangan dua kiosk layan diri itu akan menyediakan pelanggan dan pembeli dengan pengalaman dan kemudahan interaktif, yang akhirnya akan memupuk dan mengubah tabiat pengguna masa hadapan.

    Hadir semasa pelancaran kiosk berkenaan ialah Pengerusi ThreeG Media Sdn Bhd, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini bin Pengiran Dr Haji Mohd Yakub, serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, inisiatif tanpa tunai terbaharu itu membolehkan pelanggan mengimbas barangan mereka menggunakan kiosk dan membayar barangan mereka menggunakan kad kredit BIBD atau Pocket, aplikasi mudah alih pembayaran tanpa tunai yang dikendalikan oleh ThreeG Media.

    Pocket mampu menempatkan sehingga tiga kad Visa atau MasterCard dan membolehkan pengguna membayar sama ada dengan mengimbas kod QR atau dari jauh melalui fungsi bil. Inisiatif BIBD itu berfungsi untuk memperkasakan lagi penciptaan masyarakat digital yang mampan dan merealisasikan sepenuhnya agenda Negara Pintar Brunei.

    YAM Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini bergambar bersama pihak pengurusan BIBD dan Kumpulan Milimewah.
    YAM Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini mencuba menggunakan kiosk layan diri.
    Salah satu kiosk layan diri yang ditempatkan di Jaya Hypermart Centrepoint Gadong.

    BIBD sedang memajukan usahanya untuk mempromosikan transaksi tanpa tunai di pasar raya dan kedai makanan segera melalui penggunaan kiosk layan diri. Kerjasama pertama seumpamanya dengan fintech ThreeG Media dan Kumpulan Milimewah adalah sejajar dengan agenda kerajaan bagi mempromosikan pembayaran digital dan mencipta penyelesaian yang mampan ke arah komuniti yang lebih cekap.

    Ketua Perkhidmatan Pedagang BIBD, Andy Yong berkata, pengenalan penyelesaian tersebut adalah salah satu inisiatif dan komitmen BIBD untuk mewujudkan lebih banyak kerjasama dan pakatan yang menggalakkan penciptaan ekonomi tanpa tunai yang mampan dan membantu negara mendokumentasikan ekonomi.

    Pengurus Kiosk Layan Diri ThreeG Media, Awang Mohd Hafizul bin Haji Matnoor dalam temu bual bersama media mengulas bahawa ia adalah mudah apabila keluar rumah terutamanya tanpa kerumitan membawa dompet ketika melakukan aktiviti kecergasan kerana hanya memerlukan telefon dan menggunakan aplikasi Pocket.

    “Saya menggalakkan orang ramai untuk mengambil kesempatan daripada kemudahan ini kerana mereka tidak perlu membawa terlalu banyak barang kecuali kad dan telefon mereka dan sertai kami dalam menjadikan cara tanpa tunai ini sebagai satu perkara di Brunei kerana ia telah menjadi satu perkara di negara-negara maju di seluruh dunia,” ujarnya.

    Sempena pelancaran berkenaan, BIBD telah melancarkan promosi bermula hari ini hingga penghujung Disember, yang menawarkan rebat pulangan tunai kepada semua pembelian yang dibuat di kiosk berkenaan dengan kad kredit BIBD dan aplikasi Pocket.

    Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah ahli-ahli pasukan pengurusan kanan BIBD yang lain serta pengarah-pengarah Kumpulan Milimewah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...