BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Institut Akauntan Awam Bertauliah Brunei Darussalam (BICPA) dengan kerjasama Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri akan menawarkan perkhidmatan nasihat kewangan kepada koperatif-koperatif tempatan yang beroperasi di negara ini.
Klinik kewangan berkenaan akan diadakan setiap Sabtu dari 9 pagi hingga 12 tengah hari di BICPA, Unit 1, Tingkat 1, Blok A, Regent Square, Kiulap.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, klinik kewangan itu akan menawarkan penilaian kesihatan am secara percuma bagi koperatif di samping memberikan panduan mengenai penyimpanan rekod kewangan yang baik bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan memperbaiki kesihatan kewangan mereka dan meningkatkan pengetahuan mereka dalam menilai, mereka dan mengawal hal ehwal kewangan secara sistematik dan cermat.
Program berkenaan adalah selaras dengan objektif-objektif Divisyen Industri dan Koperatif Kotej (CIC) untuk menyediakan ahli-ahli koperatif dengan keupayaan-keupayaan keusahawanan, kemahiran kewangan dan kepakaran pengurusan bagi operasi koperatif yang cekap.
Sehubungan itu, koperatif-koperatif yang berminat dialu-alukan untuk membuat perjanjian dengan menghubungi Divisyen CIC menerusi e-mel info.koperasi@jpm.gov.bn atau hubungi talian 2383011/2384488 sambungan 1443/1174.
Ditubuhkan pada 6 Mei 1987, BICPA adalah pertubuhan bukan mengaut keuntungan yang diuruskan dan dijalankan menerusi perkhidmatan sukarelawan akauntan-akauntan Brunei.