Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    BIIBBF ke-21 bakal himpun penggemar motosikal berkuasa tinggi

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Negara Brunei Darussalam untuk kali yang keenam akan menjadi tuan rumah Festival Antarabangsa Motosikal Berkuasa Tinggi Kepulauan Borneo (BIIBBF) ke-21 pada 8 hingga 10 Disember depan.

    Lokasi utama festival berkenaan dijangka akan diadakan di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di ibu negara dengan melibatkan anggaran 700 peserta dari dalam dan luar negara.

    Pada sidang media mengenai festival berkenaan di salah sebuah hotel di ibu negara baru-baru ini, Naib Yang Di-Pertua Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) selaku Pengerusi BIIBBF ke-21, Awang Shahrin bin Shahbudin berkata, BIIBBF juga dihasratkan untuk memeriahkan lagi Festival Disember Brunei.

    Ia dianjurkan bersama oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dengan PEMODA untuk mendedahkan kepada dunia akan keindahan kehidupan beragama, berbangsa dan bernegara yang diwarisi sejak berkurun-kurun lamanya di negara ini selain mengenalkan ‘Calak Kitani’ orang-orang Brunei yang hidup aman makmur di dalam negara yang berkonsepkan Melayu Islam Beraja.

    “Ia juga dapat mempromosikan Negara Brunei Darussalam dan Bandar Seri Begawan sebagai sebuah destinasi pelancongan yang menarik dan indah untuk dikunjungi sekali gus mendukung industri pelancongan serta peniaga-peniaga kecil dan sederhana melalui festival yang unik dan berprestij,” jelasnya.

    Antara aktiviti sepanjang festival itu nanti ialah Green Heart of Borneo Ride, Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya dan gerai jualan daripada penaja-penaja festival.

    Para peserta juga akan berpeluang untuk bersiar-siar dengan menunggang motosikal mereka dan melintasi mercu tanda Brunei iaitu Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS).

    Festival yang berprestij itu juga dibukakan untuk kunjungan orang ramai dan diharapkan dapat menyatupadukan pemilik dan para penggemar motosikal berkuasa tinggi di seluruh kepulauan Borneo, rantau ini dan antarabangsa.

    Awang Shahrin bergambar ramai semasa sidang media baru-baru ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...