Tuesday, April 29, 2025
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bilik bantuan, mudahkan murid berkeperluan khas

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    TUTONG, 9 Okt – Dalam usaha untuk meningkatkan suasana pembelajaran yang positif bagi menjalin hubungan interpersonal antara murid bekeperluan khas dan guru pendidikan khas agama, Bilik Bantuan Pembelajaran Pendidikan Khas Agama telah dilancarkan di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Fadzillah Lubabul Bolkiah, Kampung Kupang, di sini, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat yang turut berkesudian menyempurnakan pelancaran ialah Ketua Bahagian Sekolah Agama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Sinega binti Haji Swadi.

    Pemangku Ketua Guru Agama Pendidikan Khas, Tutong, Awang Faizal bin Ramli dalam ucapannya selaku pengerusi majlis menyatakan, matlamat penubuhan bilik bantuan pembelajaran pendidikan khas berkenaan adalah sangat penting dan berguna khususnya bagi para pelajar berkeperluan khas di sekolah berkenaan.

    “Penubuhan bilik bantuan ini merupakan inisiatif Unit Pendidikan Khas Agama bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Pembelajaran perlu dilaksanakan secara komprehensif merangkumi semua elemen fizikal seperti pencahayaan, keselamatan, kondisi bilik, gangguan bunyi, pengisian ruang, susun atur perabot dan segala peralatan lain,” jelasnya.

    Semasa ditemui pihak Media Permata, salah seorang guru pendidikan khas agama di sekolah berkenaan, Awang Khairul Hafizin bin Haji Nordin memberitahu bahawa sekolah tersebut setakat ini mempunyai lima orang murid berkeperluan khas yang terdiri daripada mereka yang mempunyai sindrom Down, autisme dan speech delay.

    Beliau turut menyatakan, dengan adanya bilik bantuan yang baharu dilancarkan itu diharap dapat membantu memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran murid berkeperluan khas dan guru pendidikan khas agama di sekolah berkenaan.

    Hajah Sinega ketika merasmikan Bilik Bantuan Pembelajaran Pendidikan Khas Agama, petang tadi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda