Bagi mengelakkan pergaduhan antara suami isteri, pelakon Malaysia, Pekin Ibrahim lebih selesa untuk tidak digandingkan berlakon bersama Mona Allen.
Pekin atau Mohd Iznan Ibrahim, 44, berkata, dia mempunyai kekangan untuk menegur Mona di set penggambaran sekiranya isterinya itu melakukan kesalahan.
“Saya okey sahaja (berlakon bersama) cuma kalau boleh saya akan elakkan. Contohnya nak tegur isteri bila berlakon, situasinya berbeza kalau saya tegur pelakon lain.
“Jadi untuk elakkan rasa kurang senang itu, lebih baik kami tidak berlakon sama.
‘Berlakon’ sahajalah di rumah,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Pekin memberitahu kali terakhir mereka berlakon dalam naskhah yang sama adalah menerusi filem Salina yang ditayangkan pada 2021.
Kata Pekin, mereka sukar untuk memberi komitmen sewaktu penggambaran filem dijalankan, selain mempunyai kekangan masa menjaga anak-anak.
“Saya rasa kali terakhir berlakon dengan Mona dalam filem Salina. Susah nak berlakon suami isteri ini.
“Anak tak ada orang nak jaga, lepas itu asyik bergaduh sahaja di set penggambaran kalau dengan dia (isteri),” ujarnya.
Untuk rekod, Pekin dan Mona atau Muna Hafiraneza Allen, 40, berkahwin pada 7 Disember 2018.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Petra Pekin, 3 dan Persia Pekin yang kini berusia setahun. – Agensi