Thursday, December 5, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bimbing anak melalui projek rekaan

    Oleh Amri HTZ

    Melakukan projek bersama anak-anak membawa pelbagai manfaat sama ada secara disedari mahupun tidak.

    Dalam melaksanakan sesuatu projek, ia dapat merapatkan hubungan dan komunikasi serta kerjasama bersama mereka.

    Tanpa disedari, kegiatan sedemikian juga boleh mencetus kreativiti dalam diri mereka untuk menghasilkan sesuatu dan belajar menyelesaikan se sebuah projek secara berkumpulan.

    Dengan pelbagai projek boleh dilakukan, aktiviti mereka perhiasan dinding sesebuah ruangan juga mampu memberikan manfaat pada ibu bapa mahupun anak-anak.

    Persediaan itu perlu

    Rekaan kreatif untuk hiasan dinding ruangan bilik yang akan dilakukan bersama anak-anak memerlukan awda menyediakan terlebih dahulu barangan seperti mesin pemotong kayu, beberapa keping papan, kertas pasir, mesin ketam kayu, cat dengan warna pilihan, pita pengukur, gam silikon, hot glue stick, alat hot glue gun, kain kanvas, stapler, skru atau paku, tukul, gam kayu dan pisau utiliti.

    Bingkai rekaan yang dalam posisi menegak merupakan salah satu cara untuk mempamerkan rekaan.
    Antara susunan blok kayu yang boleh diikuti dalam projek ini.
    langkah mewarnakan blok-blok kayu dengan warna yang bersesuaian menggunakan cat sembur atau berus.
    Selain penggunaan mesin untuk memotong kayu, langkah tersebut juga boleh dilakukan secara manual.
    Blok-blok kayu yang telah dipotong menggunakan mesin pemotong kayu jenis meja.

    Projek yang cukup menyeronokkan

    Memandangkan kayu yang digunakan di sini merupakan yang digunakan semula daripada palet, terlebih dahulu awda perlu membukanya dan membersihkan permukaan kayu agar bebas daripada paku mahupun kokot.

    Ini bagi memastikan bilah mesin pemotong tidak cepat rosak atau tumpul ketika terpotong sebarang bahan berbentuk besi.

    Tugasan ini boleh diberikan kepada anak-anak untuk mencabutnya menggunakan belakang tukul.

    Setelah melepaskan kayu-kayu daripada struktur palet, mulakan langkah mereka rangka bingkai 12 inci x 12 inci dengan kayu berukuran 2 inci x ½ inci x 12 inci.

    Potong empat batang kayu untuk setiap rangka bingkai dengan bahagian hujungnya berbentuk 45 darjah untuk melakukan cantuman mitered butt.

    Gunakan rip fence untuk menentukan ukuran potongan dengan mudah yang juga berfungsi mendapatkan potongan sama rata jika lebih daripada satu.

    Bagi mendapatkan bahagian hujung kayu dengan bentuk 45 darjah, mitre gauge diperlukan sebagai panduan untuk kedudukan selain memudahkan awda bagi menyorongkan material.

    Untuk langkah pemotongan ini, ada baiknya ia dilakukan oleh orang dewasa sebagai langkah keselamatan.

    Setelah memotongnya, cantumkan keseluruhan bahagian membentuk segi empat.

    Setiap sudut cantuman perlu disapukan gam kayu kemudian dikekalkan kedudukannya menggunakan skru atau paku.

    Gunakan paku berukuran kecil memandangkan ia penting bagi memastikan kayu tidak terbelah ketika ditukul masuk.

    Sementara itu bagi penggunaan skru, tebuk lubang lebih awal pada kedudukan disasarkan bagi memudahkan skru dimasukkan dan tidak membelah kayu.

    Selesai mencantumkan rangka bingkai, potong papan lapis disediakan dengan ukuran 11 ½ inci x 11 ½ inci juga menggunakan mesin pemotong kayu.

    Papan lapis tersebut kemudian akan dicantumkan pada permukaan depan bingkai menggunakan gam kayu dan paku.

    Ini diikuti dengan pemasangan kain kanvas menutupi permukaan depan sisi atas, bawah, kiri dan akan bingkai dan dikekalkan menggunakan stapler.

    Lipat kain tersebut pada bahagian belakang rangka bagi menyembunyikannya ketika mengekalkan kedudukan kain.

    Manakala bagi bahagian corak yang terbuat daripada kayu, potong blok kayu berukuran 2 inci x ½ inci x ½ inci menggunakan mesin pemotong kayu.

    Lakukan langkah ini berhati-hati memandangkan semakin kecil material yang dipotong, semakin sukarlah ia untuk dilakukan selain menjadikan kejadian kickback lebih cenderung.

    Blok-blok kayu yang telah dipotong kemudian akan diwarnakan menggunakan cat dengan warna pilihan.

    Dalam rekaan ini, warna hijau dan merah manggis serta merah jambu digunakan mengikut kesukaan anak-anak.

    Biarkan mereka sendiri melakukan langkah ini dengan panduan awda.

    Sekurang-kurangnya dua lapisan cat diperlukan untuk menyembunyikan latar belakang warna asal kayu.

    Setelah mewarnakannya dan membiarkan cat mengering, blok-blok kayu tersebut akan disusun pada permukaan depan bingkai.

    Kedudukan susunan blok kayu pada rekaan ini bukanlah perlu diikuti seratus peratus, malahan awda juga boleh menggunakan kreativiti tersendiri.

    Selain dilakukan sendiri, membiarkan anak-anak menyusun kedudukan blok-blok kayu tersebut amat disarankan bagi mencetus kreativiti dalam diri mereka.

    Dalam mengekalkan kedudukan blok-blok kayu tersebut, gam silikon dan hot glue stick akan digunakan.

    Gam silikon berfungsi sebagi gam utama manakala hot glue stick pula sebagai pembantu mengekalkan sementara sebelum gam silikon mengering memandangkan awda perlu menyusun blok-blok kayu dalam satu masa.

    Sapukan gam silikon pada bahagian tengah blok kayu manakala hot glue stick pada bahagian sudutnya.

    Selain menyusun blok-blok kayu ketika bingkai rekaan dalam posisi mendatar, awda juga boleh mengubah kedudukannya di mana salah satu bahagian penjuru bingkai menghala ke atas.

    Namun kedudukan sedemikian mempunyai kekurangan di mana ia tidak boleh diletakkan pada permukaan meja untuk menghiasinya, berbanding kedudukan bingkai mendatar.

    Apabila selesai menyusunkan blok-blok kayu, berikan masa gam silikon untuk mengering sepenuhnya lebih kurang 30 minit.

    Sementara menunggu gam mengering, awda boleh memanfaatkan masa terluang untuk menempatkan besi penggantung pada permukaan dinding pilihan.

    Cara ini cukup mudah di mana besi penggantung biasanya dilengkapi dengan pita perekat pada bahagian belakangnya namun mempunyai had berkaitan berat objek digantungkan.

    Selain itu awda juga boleh menggunakan cara konvensional. Menggunakan mata gerudi bersesuaian (konkrit, besi atau kayu, tertakluk kepada jenis permukaan), tebuk lubang dengan dalam lebih kurang 1 ½ inci dan masukkan wall plug sebelum mengetatkan skru.

    Manakala untuk bahagian belakang bingkai pula, alat penggantung berbentuk cecincin digunakan bagi memudahkan ia digantungkan.

    Sebelum menetapkannya, tandakan bahagian tengah bingkai dan ketatkan alat menggunakan skru.

    Pastikan kedudukannya benar-benar di bahagian tengah agar ia seimbang ketika digantungkan.

    Dengan langkah terakhir demikian, projek rekaan bersama anak-anak setentunya memberikan pelbagai manfaat di antara satu dengan lain.

    Selain membimbing mereka, kejayaan daripadanya juga mencipta memori bersama untuk dikenang mereka pada hari kandila.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda