Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    BIMP-EAGA percepat pelaksanaan projek BEV 2025

    KUALA LUMPUR, 26 OKT – Pelaksanaan projek di bawah Kajian Separuh Penggal Visi 2025 Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMB-EAGA) (BEV 2025) akan dipercepatkan, manakala kerja-kerja persediaan bagi Agenda BIMP-EAGA Pasca 2025 juga akan bermula.

    Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib dalam kenyataan hari ini berkata menteri-menteri yang menghadiri Mesyuarat Menteri BIMP-EAGA ke-26 di Bandar Seri Begawan, Brunei hari ini juga telah meminta pegawai kanan dan kluster untuk mempercepat pelaksanaan projek dan memulakan tugasan agenda pasca 2025.

    Beliau yang turut menghadiri mesyuarat itu berkata para menteri berpuas hati dengan kemajuan ketara pelaksanaan projek infrastruktur keutamaan (PIP) BIMP-EAGA.

    Hanifah Hajar berkata sebanyak 48 daripada 129 PIP telah siap, manakala 81 projek kini pada pelbagai peringkat pelaksanaan, yang berjumlah AS$38.87 bilion, katanya.

    “Kalangan menteri juga gembira dengan hubungan udara, darat dan laut BIMP-EAGA yang bermula semula dan usaha berterusan untuk memasarkan dan mempromosi subwilayah itu sebagai destinasi pilihan pelancong,” katanya.

    Hanifah Hajar berkata mereka juga mengalu-alukan pemeteraian surat hasrat Inisiatif Kuarantin Satu Borneo yang bermatlamat untuk mengukuhkan kerjasama dari segi pemantauan dan pemeriksaan sistem kuarantin subrantau dan meningkatkan perlindungan daripada perosak dan penyakit.

    “Para menteri turut menyeru agensi untuk meningkatkan sesi libat urus dengan sektor swasta dan meneruskan sokongan dengan memanfaatkan IR4.0 (Revolusi Perindustrian Keempat) dan teknologi pintar iklim.

    “Tumpuan juga perlu diberikan untuk meluaskan akses kepada sumber tenaga mampan, meningkatkan infrastruktur serta menambah kemahiran dan latihan semula bagi memenuhi permintaan dan sejajar dengan inisiatif ASEAN,” katanya. – Bernama

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah (dua, kanan) Yusof melawat ruang pameran ketika hadir pada Program “La Berambeh” Anak Sarawak 2023 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia baru-baru ini. Turut kelihatan Datuk Hanifah Hajar Taib (tiga, kanan). – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...