Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bina pulau terapung lebih mesra alam

    Pusat peranginan di tepi pantai ini menawarkan pengunjung minuman sejuk atau hidangan lazat, berenang atau berkaraoke, atau bermalam dengan pemandangan yang indah.

    Tiada yang baharu di sini, keselesaan di sini adalah cukup, menepati standard di hotel-hotel tropikal.

    Perbezaan yang ketara adalah pusat peranginan ini merupakan pulau bergerak yang terapung di atas botol-botol plastik.

    Terletak di atas sebuah laguna di Abidjan, hab ekonomi di Ivory Coast, kompleks peranginan luar biasa itu terapung di atas platform yang dibuat daripada 700,000 bekas botol dan serpihan-serpihan lain.

    Penciptanya, Eric Becker, seorang warga Perancis berkata ciptaannya itu akan membantu bumi menjadi lebih hijau, lebih banyak pusat pelancongan, sesuatu yang kurang merbahaya kepada lautan dan persisiran daripada sebuah peranginan konkrit dan tradisional.

    Pulau terapung yang menggunakan sejumlah besar botol plastik. – Agensi

    ‘Ile Flottante’ atau dikenali sebagai ‘pulau terapung’ terdiri daripada dua banglo rumbia dan restoran-restoran, kolam-kolam kecil, pokok-pokok dan pokok renek dan satu laluan pejalan kaki terbentang seluas lebih daripada 1,000 meter persegi. Para pelawat dibawa ke pulau tersebut menggunakan bot. Air telah disediakan dengan menggunakan paip dari pantai. Elektrik dibekalkan oleh panel solar, disokong oleh penjana elektrik. Pulau itu lebih besar daripada kapal berlabuh dan lebih baik berbanding jeti kerana ia boleh dialihkan ke lokasi lain, kata Becker memberitahu AFP.

    “Ia sememangnya sebuah pulau tiruan yang boleh terapung dan anda boleh memindahkannya.”

    Becker, bekas usahawan komputer, pertama kali mencuba-cuba dengan idea untuk membina kapal layar.

    Tetapi semasa beliau datang ke Abidjan dan melihat laguna tersebut, visi terapung dan pulau bergerak muncul dalam fikirannya dan beliau menjual segala yang dimiliki untuk mencapai impiannya itu. Langkah utama adalah untuk mencari segala-galanya yang boleh terapung seperti botol plastik, polistirena dan sandal untuk pantai.

    Penduduk tempatan yang bingung memberikannya nama ‘Eric Bidon’ iaitu perkataan halus yang mempunyai dua makna iaitu gelen dan pura-pura.

    “Kami membeli botol terpakai, dan mengambilnya untuk diletakkan dalam lagun. Selepas beberapa kali, kami mempelajari untuk mengikuti angin dan mencari tempat di mana sampah-sampah terapung terkumpul,” katanya. Selepas tinggal di pulaunya selama beberapa tahun, Becker telah menjadikannya sebagai hotel pada tahun lepas.

    Beliau mendapat 100 orang pelanggan dalam seminggu, kebanyakannya penduduk Ivory yang tertanya-tanya atau para pelancong yang mesra ekologi.

    Selain itu, pengunjung adalah mereka yang mahu beristirahat dari bandar yang sibuk dan ingin menggunakan kolam renang.

    “Apabila bersaing dengan hotel-hotel utama, anda memerlukan idea yang asli seperti pulau terapung, ia menjadi tarikan para pelancong,” kata Mathurin Yao Saky, rakan yang memberikan nasihat kepada Becker mengenai skim tersebut. Charles Moliere, warga Perancis yang berusia 28 tahun bekerja di Ivory Coast untuk syarikat besar, membaca mengenai pusat peranginan itu dalam buku panduan.

    “Ia sangat asli dan tempat yang luar biasa, saya tidak pernah menyaksikannya di tempat lain,” katanya.

    “Saya rasa ia merupakan idea yang baik untuk memberikan peluang kedua kepada plastik dan menjadi satu penemuan yang kecil. Saya sangat suka tempat ini.” Pulau itu mengenakan bayaran 15,000 CFA seorang untuk sehari, yang termasuk makan dan feri dan 60,000 CFA untuk semalam.

    Hamed Kone, jurutera komputer mengatakan beliau melawat tempat itu selepas menemuinya dalam talian.

    “Kualiti ekologi telah menarik perhatian saya, pada masa ini, orang lebih banyak bercakap mengenai persekitaran,” kata Hamed. Becker telah mengubah bandar sampah menjadi tempat yang menyenangkan. Ia adalah sebuah idea yang telah datang pada masa yang sesuai. Saya berharap ia akan memberikan ilham kepada orang lain,” kata Kone.

    Becker juga mengatakan pulau seberat 200 tan itu boleh menjadi prototaip dalam semua projek.

    Ia sangat ideal untuk kediaman di atas air lagun, air yang cetek dan terpisah dari lautan oleh perkarangan sempit atau halangan pulau-pulau.

    “Orang ramai boleh tinggal di pulau terapung di lagun tanpa pencemaran dan melakukan penternakan ikan,” katanya lagi. Apa sahaja yang berkaitan dengan aktiviti manusia sering membawa kepada nilai persekitaran dan Becker telah bersedia untuk mengetahui bahawa ideanya bukan keseluruhan menghijau tetapi lebih menghijau.

    Satu kebimbangan adalah bahawa skim ini juga menambah kepada masalah pencemaran kronik di lagun.

    Bandar Abdijan telah melepaskan sisa kumuhan ke lagun, begitu juga dengan peranginan mini, walaupun Becker telah menguji teknologi yang mencuba untuk mengubah sisa buangan manusia kepada kompos. Selepas membersihkan lagun itu dengan plastik terapung dan sisa lain, ia masih tidak cukup.

    “Namun apa yang baik mengenai konsep ini adalah kami mengambil sesuatu yang negatif, pencemaran botol plastik, dan menjadikannya sesuatu yang positif.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda