Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, kelmarin, berkenan menerima kunjungan muhibah daripada Setiausaha Luar (Setiausaha Kanan) Bangladesh, Duta Masud bin Momen yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam, di sini, hari ini, perjumpaan itu diadakan selepas sesi Konsultasi Pejabat Luar Kedua (FOC) antara Negara Brunei Darussalam dan Bangladesh yang diadakan di ICC pada 31 Ogos lalu.
Kejayaan, semangat dan hasil positif daripada FOC kedua itu juga dapat dirasai semasa perbincangan antara YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna bersama Duta Masud di mana mereka membincangkan mengenai agenda FOC, krisis Rohingya dan kerjasama tenaga.
Duta Masud juga mengadakan lawatan ke Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Bandar Seri Begawan, kelmarin, di mana beliau telah meletakkan jambangan bunga pada potret Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman, Bapa Negara Bangladesh dan menyampaikan ucapan kepada perkumpulan jemputan Brunei.
Semasa sesi pertukaran interaktif yang turut disertai oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona, Duta Masud mengetengahkan sumbangan pekerja Bangladesh dalam industri binaan di Brunei dan amat menghargai layanan baik yang diberikan oleh masyara-kat negara ini kepada mereka.
Beliau turut merafakkan sembah pujian kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas kejayaan sebagai pengerusi ASEAN pada 2021 dan pengurusan efektif penularan wabak COVID di Brunei.
Duta Masud juga mengadakan lawatan ke Sudut Bangabandhu di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di mana beliau melancarkan Imagine Bangladesh, sebuah karya seni kolaboratif yang dipimpin oleh artis terkemuka, Pengiran Wahab Hassan dan kanak-kanak komuniti Bangladesh.
Seterusnya, beliau mengadakan lawatan ke Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam untuk melihat dengan lebih dekat kemudahan yang disediakan bagi individu berkeperluan khas.
Di samping itu, beliau juga turut menghoskan majlis makan tengah hari bagi komuniti Bangladesh di Negara Brunei Darussalam di Restoran Santi Nur.
Delegasi Bangladesh seramai empat orang yang diketuai oleh Duta Masud telah meninggalkan Negara Brunei Darussalam setelah menamatkan lawatannya, kelmarin.