LIMA, 6 OGOS – Delegasi dari kira-kira 60 buah negara akan bertemu hari ini di Lima untuk membincangkan krisis politik di Venezuela, ketika Washington meningkatkan tekanan ke atas Presiden Nicolas Maduro untuk meletak jawatan.
Persidangan itu muncul sehari selepas Presiden Donald Trump mengarahkan pembekuan ke atas semua aset kerajaan Venezuela di Amerika Syarikat (AS) dan transaksi dengan pihak berkuasa negara itu disekat ‘susulan rampasan kuasa’ berterusan oleh pemimpin sosialis itu.
Mesyuarat itu disidangkan oleh Lima Group, termasuk puluhan negara Amerika Latin dan Kanada serta membantu untuk menjadi orang tengah dalam krisis itu.
Delegasi AS termasuk Penasihat Keselamatan Negara Trump, John Bolton dan Setiausaha Perdagangan, Wilbur Ross, dijangka akan mengumumkan langkah-langkah punitif ke atas Maduro pada mesyuarat di bandar Peru.
Bolton menyifatkan ‘langkah perubahan’ itu akan mencetuskan banyak akibat sambil menekankan Trump komited dengan peralihan kuasa di Venezuela.
Negara Amerika Selatan yang kaya minyak itu sudah pun bergelut dengan masalah ekonomi kini terjunam dalam krisis politik apabila Ketua Perhimpunan Negara, Juan Guaido mengumumkan dirinya sebagai presiden sementara pada Januari, menuduh Maduro menyalahgunakan kuasa.
Wall Street Journal berkata langkah sekatan aset itu adalah yang pertama ke atas sebuah kerajaan Hemisfera Barat sejak 30 tahun lalu sekali gus mengenakan sekatan ke atas Caracas sama seperti yang dihadapi oleh Korea Utara, Iran, Syria dan Cuba.
Arahan Trump atas pembekuan aset itu akan menjejaskan ‘semua kemudahan dan kepentingan dalam kerajaan Venezuela di AS, yang muncul selepas ini bersama AS atau dalam pemilikan dan kawalan mana-mana warga AS.” – AFP
