FRANKFURT, 27 JULAI – Syarikat Jerman BioNTech, yang membangunkan vaksin koronavirus bersama firma Amerika Syarikat (AS) Pfizer, berkata semalam ia berhasrat memulakan uji kaji vaksin malaria pada tahun depan menggunakan teknologi mRNA yang sama.
Jika berjaya, vaksin tersebut mungkin menjadi langkah penting dalam usaha memerangi penyakit bawaan nyamuk, yang membunuh lebih daripada 400,000 orang setahun, terutamanya kanak-kanak di Afrika.
“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk membangunkan vaksin malaria yang selamat dan efektif berdasarkan teknologi mRNA yang akan mencegah penyakit itu, mengurangkan kematian dan menjamin penyelesaian mampan untuk benua Afrika dan rantau lain yang terjejas oleh penyakit ini,” kata CEO BioNTech, Ugur Sahin dalam satu kenyataan.
Syarikat itu berkata ia akan menilai beberapa calon vaksin dan memulakan percubaan klinikal pada akhir tahun 2022.
Projek itu disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika dan Kesatuan Eropah.
BioNTech berkata ia juga menimbang menubuhkan sebuah hab mRNA di Afrika supaya vaksin masa depan boleh dihasilkan dan diedar di benua tersebut.
Vaksin malaria itu akan menggunakan kaedah RNA yang sama yang digunakan dalam vaksin koronavirus Pfizer/BioNTech, yang merupakan vaksin pertama COVID-19 yang diluluskan di Barat pada akhir 2020.
Saintis percaya vaksin mRNA, yang merangsang respons imun dengan menghantar molekul genetik yang mengandungi kod untuk patogen utama dalam sel manusia, mungkin menjadi satu penyelesaian untuk kebanyakan penyakit. – AFP
