Monday, March 3, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    BMC bantu keluarga memerlukan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Bulan Ramadan merupakan masa untuk menyucikan jiwa, menumpukan kepada refleksi rohani dan membangunkan hubungan yang lebih mendalam dengan Tuhan.

    Pada masa yang sama, Ramadan juga peluang untuk melaksanakan kerja-kerja berkebajikan dengan Syarikat Methanol Brunei (BMC) sentiasa komited untuk menabur bakti kepada masyarakat.

    Oleh itu, menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat BMC melakukan impak positif kepada golongan yang memerlukan selain menjalin hubungan lebih erat dengan mereka yang dibantu.

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif BMC, Jesus Enrique Mora Marin dalam kata alu-aluannya pada Majlis Berbuka Puasa BMC di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong bersama keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan yang menetap di Mukim Liang.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan sumbangan kepada 11 keluarga yang kurang berkemampuan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid selaku Timbalan Pengerusi BMC.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga BMC, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad dan Pemangku Penghulu Mukim Liang dan Ketua Kampung Sungai Liang, Awang Mohammad Haszrin bin Bagol.

    Majlis kemudian menyaksikan Jesus Enrique menyampaikan sumbangan hasil kutipan daripada kakitangan dan syarikat berkenaan berjumlah $5,000 kepada Tabung Amal Anak-anak Yatim Daerah Belait yang diterima oleh Haji Amirol Hafidzin.

    Sementara itu, pada sebelah pagi, BMC juga mengadakan ceramah agama yang dihadiri oleh kakitangan BMC sempena Ramadan yang disampaikan oleh penceramah undangan, Penolong Pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Muhammad Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.

    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada ahli keluarga yang kurang berkemampuan pada majlis yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun.
    Haji Amirol Hafidzin (kiri) menerima sumbangan bagi Tabung Amal Anak-Anak Yatim Daerah Belait daripada syarikat dan kakitangan BMC yang disampaikan oleh Awang Jesus Enrique (tengah), hari ini.
    Awang Jesus Enrique menyampaikan kata alu-aluannya di majlis yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
    Antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda